Setengah juta terima vaksin pneumokokal setiap tahun

95

1 DIS: Pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak bermula serentak hari ini, di semua Klinik Kesihatan kerajaan di seluruh negara dengan jangkaan bakal memanfaatkan setengah juta kanak-kanak setiap tahun.

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya layak menerima suntikan vaksin itu yang akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada usia empat bulan dan enam bulan diikuti dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan.

Sementara bagi kanak-kanak yang lahir dalam tempoh sama dan telah berumur lima bulan atau lebih, atau mereka yang terlewat menerima vaksin itu akibat pandemik wabak COVID-19, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM.

“Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik. Vaksin ini juga adalah selamat dan berkesan.

“Pemberian vaksin ini sangat penting dan bertepatan dengan keadaan semasa ekoran bilangan kanak-kanak menghidap penyakit pneumokokal meningkat iaitu 17,446 kes pada 2017 kepada 19,773 kes pada tahun lepas,” katanya selepas melancarkan Program Imunisasi Pneumokokal Untuk Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Raub hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kawalan Penyakit KKM Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah.

Pemberian vaksin itu adalah bertujuan menghalang jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae atau pneumokokus, yang boleh menyebabkan penyakit seperti radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

“Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian. Kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah golongan yang paling berisiko tinggi dijangkiti dan mengalami komplikasi penyakit ini. Selain mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit berkaitan, pemberian vaksi ini juga dapat mengurangkan kos rawatan,” katanya.

Dr Adham juga berkata KKM sentiasa memastikan vaksin yang digunakan adalah berkesan dan selamat, namun ibu bapa diminta melaporkan kesan sampingan vaksin berkenaan, jika ada, kepada anggota kesihatan atau melaporkannya melalui laman sesawang npra.gov.my.

KKM juga akan menyediakan vaksin berkenaan melalui pasukan bergerak Orang Asli, perkhidmatan bas bergerak, bot bergerak dan perkhidmatan doktor udara bagi penduduk pendalaman dan jauh daripada kemudahan kesihatan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.