Reman dilanjut, pendakwah selebriti tekad bersihkan nama

139

1 DIS: Reman pendakwah selebriti yang ditahan berhubung dakwaan merogol seorang gadis dilanjutkan lima hari lagi hingga Ahad.

Permohonan lanjutan itu dibuat setelah polis menerima enam lagi laporan berkaitan jenayah seksual membabitkan selbriti tersebut semalam.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Ahmad Feisal Mohd Azmi, hari ini.

Terdahulu suspek berusia 25 tahun tiba di mahkamah kira-kira jam 11 pagi dengan ditemani peguam.

Siasatan terhadap pendakwah selebriti itu dibuat mengikut Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) Kanun Keseksaan.

Sementara itu media melaporkan, peguam Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang mewakili suspek berkata, pihaknya akan mengambil tindakan berlandaskan lunas undang-undang bagi membuktikan anak guamnya tidak bersalah.

“Anak guam sedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selain menafikan sebarang pertuduhan dan dakwaan yang dibuat oleh wanita berkenaan.

“Dia akan cuba membersihkan namanya mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, polis menerima enam laporan ke atas pendakwah selebriti itu iaitu lima di daerah Shah Alam dan satu di daerah Petaling

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, tempoh reman suspek akan tamat hari ini namun disebabkan beberapa laporan polis yang baru diterima maka, perintah lanjutan reman akan dipohon bagi membantu siasatan.

Suspek ditahan kira-kira 11 malam, 26 November lalu selepas tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Difahamkan suspek pernah menyertai sebuah rancangan realiti keagamaan pada 2016 sebelum popular sebagai penyanyi dan pelakon.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.