PM ucap takziah kepada keluarga pengasas Artortoise

102

1 DIS: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan takziah atas kematian kartunis ilustrasi digital, Mohamad Ikhsan Kamarudin yang meninggal dunia pagi tadi.

Muhyiddin menyampaikan ucapan itu menerusi hantaran Facebook beliau dan menyifatkan pemergian Mohamad Ikhsan satu kehilangan kepada semua.

“Sebagai peminat seni lukisan, saya turut merasai kehilangan Allahyarham, apatah lagi karya pengasas ilustrasi digital Artortoise itu banyak digunakan untuk menyebarkan mesej kesedaran mengenai COVID-19.

“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan orang tersayang. Pemergiannya satu kehilangan kepada semua,” katanya.

Beliau turut mendoakan, roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama orang beriman dan beramal soleh.

Allahyarham Mohamad Ikhsan dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.37 pagi tadi dan selamat dikebumikan di Bandar Seri Putra, Kajang pagi tadi.

Akaun Artortoise sebelum ini pernah melaporkan Allahyarham yang berusia 35 tahun, sedang menerima rawatan Hepatitis B di Hospital Selayang namun masih tiada perkembangan yang baik.

Tahap kesihatannya semakin merosot disebabkan sistem pertahanan badannya yang sangat lemah selepas menjalani kemoterapi untuk kanser.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, turut berkongsi kenangan bersama kartunis ilustrasi digital dan mendoakan Allahyarham diberi ganjaran syurga atas segala sumbangannya kepada negara melalui mata pena.

“Setiap kali terpandang beg cenderahati pejabat saya, pasti teringat Artortoise. Lukisan itu hadiah beliau kepada saya.

“Moga diganjari syurga atas segala sumbangannya kepada negara melalui mata pena. Sama-sama kita sedekahkan bacaan Surah al-Fatihah,” tulisnya di laman Facebooknya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.