Majlis Tertinggi PN bincang persiapan PRU

822

1 DIS: Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang berlangsung hari ini antara lain membincangkan dan mempersetujui beberapa perkara penting termasuk persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu, mesyuarat hari ini juga bersetuju memperkemaskan gabungan parti-parti anggota PN, memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Kerajaan PN dan melaksanakan program-program segera untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Hari ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang telah dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain.

“Kami telah, antara lain, membincangkan dan mempersetujui beberapa perkara penting termasuk persiapan untuk menghadapi PRU, memperkemaskan gabungan parti-parti anggota PN, memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Kerajaan PN dan melaksanakan program-program segera untuk memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.

“Majlis Tertinggi PN terus komited untuk menzahirkan aspirasi Kerajaan dan rakyat seluruhnya,” kata Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menerusi satu hantaran di Facebook beliau sebentar tadi.

Yang turut hadir, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pemimpin kanan PN yang lain. -Oleh HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.