Kerajaan tak usik rizab BNM tampung Belanjawan 2021

64

1 DIS: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah menggunakan simpanan dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membiayai Belanjawan 2021 serta pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19 yang berlaku di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, segala pakej rangsangan ekonomi adalah dibiayai menerusi pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan.

“(Rizab Negara) diguna untuk menjamin liabiliti mata wang tempatan dan deposit rizab bank-bank lain dengan bank-bank pusat oleh kerajaan atau institiusi kewangan asing.

“Untuk makluman dewan, rizab antarabangsa digunakan bagi maksud-maksud tertentu bukan untuk membiayai bajet atau membiayai pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19. Pakej rangsangan ekonomi adalah dibiayai terutamanya melalui pinjaman domestik daripada pasaran kewangan tempatan,” katanya katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

ABDUL RAHIM BAKRI
ABDUL RAHIM BAKRI

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Labis, Pang Hok Liong tentang jika kerajaan telah menggunakan simpanan negara untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan Hok Liong menyatakan tentang jumlah rizab antarabangsa BNM setakat 30 September, Abdul Rahim memberitahu nilai rizab antarabangsa negara berjumlah RM436.5 bilion yang mencukupi untuk membiayai 8.4 bulan import dan 1.1 kali jumlah hutang di luar negeri jangka pendek.

“Rizab negara telah menunjukkan peningkatan sebanyak AS$1.4 bilion berbanding akhir tahun 2019 iaitu AS$103.6 bilion,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.