Jajar semula kurikulum pelajaran ekoran COVID-19

50

1 DIS: Kementerian Pendidikan telah melakukan penjajaran semula kurikulum semua mata pelajaran berdasarkan sukatan pelajaran sedia ada bagi memastikan murid mendapatkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai diperlukan untuk kelangsungan pembelajaran semasa penularan COVID-19, sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Dr Mah Hang Soon, berkata penjajaran semula kurikulum berkenaan dikecualikan bagi pelajar tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Hang Soon berkata, penjajaran kurikulum berkenaan membabitkan penyusunan semula pedagogi dan pentafsiran berasaskan hasil pembelajaran yang dihasratkan.

MAH HANG SOON
MAH HANG SOON

“Melalui penjajaran semula kurikulum ini guru boleh merancang pengajaran dan pembelajaran dengan melaksanakan kaedah pembelajaran teradun ataupun ‘blended learning’ membabitkan gabungan teknik pengajaran secara bersemuka dalam bilik darjah atau di rumah yang dirancang secara berstruktur.

“Kementerian juga turut memberikan bimbingan mengenai kurikulum yang sudah dijajarkan dalam tempoh persekolahan berbaki bagi tahun 2020 termasuk kunjung bantu dan penerangan dalam talian,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

bung moktar
BUNG MOKTAR RADIN

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah usaha kementerian dalam memastikan kualiti pembelajaran murid-murid sekolah dapat dikekalkan dan tidak terjejas berikutan penutupan sekolah.

Bung Moktar juga meminta Kementerian Pendidikan menyatakan apakah alternatif lain selain dari pembelajaran secara dalam talian memandangkan terdapatnya kekangan kepada keluarga yang tidak berkemampuan untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian ataupun keluarga yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai rangkaian internet yang stabil.

Mengulas lanjut, Hang Soon berkata Kementerian Pendidikan juga menyediakan manual pembelajaran dan pengajaran di rumah atau PDPR sebagai panduan kepada guru dalam melaksanakan PDPR secara berstruktur dan terancang supaya murid dapat menyediakan pembelajaran di rumah secara optimum.

“Manual PDPR ini meliputi pendekatan secara ‘online’ atau ‘off line’ atau ‘Offside’ sama ada menggunakan modul pembelajaran atau pembelajaran berasaskan projek,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan juga sentiasa berusaha untuk memastikan semua murid mendapatkan akeses pembelajaran.

“Oleh itu bagi membantu murid tidak mempunyai akses internet atau peranti sesuai, guru juga mengambil inisiatif dengan menyerahkan bahan pembelajaran dan pengajaran mengikut kesesuaian,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.