Dua kluster baru, Teratai catat lebih 5,000 kes

486

1 DIS: Sebanyak 33 kluster melaporkan pertambahan kes positif COVID-19 hari ini dengan Kluster Teratai yang melibatkan sebuah kilang sarung tangan getah di Klang mencatatkan kes tertinggi iaitu 778 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini diikuti Kluster Hentian dengan 118 kes dan Kluster Batu Tujuh, 37 kes.

“Sejak diumumkan pada 7 November, 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai. Daripada jumlah ini, 5,056 kes telah dikesan positif COVID-19 yang melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara.

“Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan. Kesemua kes-kes positif ini telah diasingkan,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Tambah Noor Hisham, oleh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik pengumuman oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Disember 2020 sehingga 14 Disember 2020.

“Sehingga kini, majikan yang berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada semua pekerja mereka.

“Anggota-anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan,” jelasnya.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat dua kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dengan kedua-duanya di Sabah,

Menurut beliau, kluster pertama ialah Kluster View Kelombong melibatkan daerah Kota Kinabalu dan Tuaran dengan kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 1 Disember 2020 hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sehingga hari ini, sejumlah 76 individu telah disaring, di mana 40 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kedua ialah Kluster Talang-Talang melibatkan daerah Kota Kinabalu. Kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 23 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 1 Disember 2020, sejumlah 67 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” ujarnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.