311 orang dicekup langgar arahan PKP

101

1 DIS: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 311 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 306 individu telah dikompaun manakala lima individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk tidak memakai pelitup muka (97), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (75), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (69), rentas daerah/negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (30), aktiviti pusat hiburan (26) dan lain-lain (14),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan seramai 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga buah bot dan kapal serta sebuah kenderaan darat dalam Ops Benteng semalam.

“Sebanyak 273 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan semalam yang melibatkan Op PENAWAR (ATM, PDRM dan RELA) sebanyak 205 SJR, Op BENTENG PDRM sebanyak 59 SJR dan Op BENTENG Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) sebanyak 9 SJR,” jelasnya.

Selain itu, Ismail Sabri memberitahu, sebanyak 12,091 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon dilaksanakan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu.

Beliau berkata, sebanyak 14,216 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,874 pusat perniagaan, 1,670 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,785 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,530 bangunan kerajaan.

“Semalam, sebanyak 40 operasi sanitasi meliputi 11 Zon Merah, 4 Zon Jingga, 9 Zon Kuning dan 4 Zon Hijau yang melibatkan 10 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan iaitu Sabah (11 operasi), Kelantan (8 operasi), Melaka (7 operasi), Perak (4 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Pahang (2 operasi), Negeri Sembilan (1 operasi), Selangor (1 operasi), Kedah (1 operasi), Perlis (1 operasi) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1 operasi) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1 operasi),” jelasnya.

Ismail Sabri turut menyatakan, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 79,128 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 78 hotel dan 17 institut latihan awam (ILA) di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 11,270 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 502 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 67,356 individu telah dibenarkan pulang,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.