20 pegawai imigresen positif COVID-19

72

1 DIS: Seramai 20 anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) didapati positif COVID-19 sejak wabak itu mula dilaporkan di negara ini sehingga 25 November lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, keseluruhannya 3,500 petugas JIM menjalani ujian saringan COVID-19 dengan dengan 3,000 daripadanya telah dikuarantin.

Katanya, sebagai pasukan barisan hadapan, pegawai dan anggota JIM berhadapan risiko dijangkiti virus itu kerana berada paling hampir dengan warga asing dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang belum dipastikan tahap kesihatan mereka.

Namun, jelas beliau, JIM tetap komited melaksanakan dasar kemasukan warga asing yang diputuskan kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), menyaksikan sebanyak 1,332 kes positif import sehingga 30 November lepas.

“Bukan sahaja sebagai benteng pertama pintu masuk negara menghadapi pelawat asing yang berisiko membawa virus COVID-19 tetapi turut terlibat secara langsung dalam tugasan-tugasan berkaitan kawalan dan pencegahan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Imigresen 2020, hari ini.

Beliau berkata penglibatan JIM dapat dilihat di kawasan tumpuan warga asing, pusat rawatan dan kuarantin warga asing seperti di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dan operasi penguatkuasaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Khairul Dzaimee berkata, sejak Januari hingga 30 Nov lepas, JIM telah melaksanakan sebanyak 6,379 operasi penguatkuasaan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan 93,475 individu serta penahanan 34,920 pendatang tanpa izin dan 376 majikan.

Bersempena sambutan Hari Imigresen itu, beliau turut melancarkan Pelan Anti-Rasuah JIM 2020-2024 yang memberi fokus kepada tadbir urus lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa undang-undang.

“Pelan ini digubal untuk memberikan fokus kepada dasar integriti dan tadbir urus yang lebih jelas serta pembudayaan integriti tinggi dalam melaksanakan tugas sebagai penguat kuasa undang-undang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.