Sambung semula projek yang dibatal zaman PH

159

30 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diminta mengambil alih dan meneruskan semula pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang dirancang semasa zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang dibatalkan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan.

Ahli Parlimen BN Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kerajaan perlu memastikan semua projek dibatalkan oleh kerajaan PH selama 22 bulan dan sudah dirancang oleh kerajaan BN sebelum ini terutama di Negeri Sembilan dilaksanakan semula untuk kepentingan rakyat.

“Ini kerana semua projek berkenaan adalah untuk kepentingan rakyat sebagai contoh di Jelebu ini terdapat tiga projek utama tidak dilaksanakan termasuk dewan sudah diumumkan dengan peruntukan berjumlah RM7 juta sahaja, pembinaan dan pembaikpulihan masjid.

“Kerajaan perlu berbuat demikian kerana ini adalah hak dan kepentingan yang harus kita laksanakan untuk rakyat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

JALALUDDIN ALIAS
JALALUDDIN ALIAS

Beliau juga memohon Jabatan Perdana Menteri menjelaskan mengenai kewajaran kerajaan memperuntukkan RM882.7 juta kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu peningkatan sebanyak RM288 juta berbanding dalam Bajet 2020 lalu.

“Peningkatan sebanyak RM288 juta mohon apakah justifikasi bagi meningkat begitu tinggi memandangkan kenaikkan 288 juta terutama berkenaan bayaran tetap.

“Saya minta penjelasan kerajaan siapakah atau pihak kelompok mana mendapat manfaat daripada kenaikan peruntukan begitu besar,” katanya.

Jalaluddin juga memohon Jabatan Perdana Menteri menyatakan pretasi dan status terkini projek ICU bagi tahun 2020 dan jumlah kerugian ditanggung oleh kerajaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.