Saiz Kabinet, Shah Alam kena sekolah dengan Redzuan

1,669

30 NOV: Gara-gara terus membangkitkan soal saiz anggota Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ahli Parlimen PH Shah Alam, Khalid Abdul Samad akhirnya terpaksa ‘disekolahkan’ oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Tegas Redzuan, tidak seperti digambarkan Khalid kononnya jumlah menteri ketika ini terlalu ramai dan membazir, hakikatnya Kabinet Perikatan Nasional (PN) hanya lebih empat orang berbanding era Pakatan Harapan (PH).

Malah tegasnya, langkah itu juga dibuat berdasarkan keperluan bagi melicinkan pentadbiran dan bukannya atas sebab politik seperti dituduh Khalid.

Justeru, Redzuan memberi amaran supaya bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, tidak terus mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan Ahli Parlimen lain dan rakyat di peringkat akar umbi.

“Ia bukan mengelirukan atau memalukan. Kita sebutkan tadi, PN membesarkan saiz pentadbiran mengikut keperluan.

“Itu adalah cara PN untuk menambah baik pengurusan dan pentadbiran negara. Itu semua andaian daripada YB Shah Alam tidak perlu mengelirukan rakyat.

“Semua rakyat sudah jelas bilangan menteri, tidak perlu kita nak ‘spin’,” katanya ketika menjawab soalan ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Redzuan berkata demikian ketika menjawab celahan Khalid yang mendakwa Redzuan cuba menafikan hakikat bahawa Kabinet kerajaan PN adalah jauh lebih besar berbanding zaman PH dan keperluan kerana terdapat rundingan bagi membolehkan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen PH-Port Dickson dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenapa anggota pentadbiran kerajaan PN lebih besar berbanding di zaman PH memerintah, Redzuan menjelaskan, ia dibuat mengikut keperluan.

Katanya, ini terutama bagi memastikan segala program dan projek kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar dan cekap bagi memastikan hasil yang dinikmati oleh rakyat dan negara atau impaknya lebih boleh diukur.

“Dalam hal ini jumlah anggota pentadbiran PN tidaklah terlalu besar walaupun terdapat sedikit penambahan berbanding pentadbiran di zaman PH memerintah.

“Ini kerana ia dibuat berdasarkan keperluan semasa dan bagi memastikan segala program dan projek kerajaan berjalan lancar dan boleh memberikan impak bermakna.

“Kalau kita lihat PH mempunyai 28 Menteri, manakala PN pula seramai 32 Menteri iaitu lebih empat sahaja. Bagi jawatan Timbalan Menteri di zaman PH ada 27 orang, manakala PN seramai 37 orang,” kataya.
Redzuan menjelaskan emolumen kakitangan kontrak di bawah pentadbiran kerajaan PN sekarang adalah RM200 juta untuk tahun 2021 peningkatan RM108 juta sahaja berbanding tahun sebelumnya RM91.5 juta.

“Bagaimanapun, tiada pelantikan kakitangan kontrak menggunakan peruntukan ini. Jumlah RM200 juta bagi 2021 berkenaan adalah untuk Angkatan Pertahanan Awam (APAM); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Pejabat Mufti, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU); Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.