RM100j peruntukan sekolah agama, pondok, tahfiz

62

30 NOV: Dakwaan pembangkang kononnya kerajaan tidak menyalurkan peruntukan khas kepada sekolah agama, pondok dan tahfiz adalah tidak benar sama sekali.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk penyelenggaraan dan menaik taraf infrastruktur sekolah tahfiz, pondok dan agama rakyat.

Menurut beliau, peruntukan itu memberi manfaat kepada kira-kira 3,500 buah sekolah.

“Berkenaan cara, kita akan laksanakan, kita ada skema dan prosedur dia sebagaimana RM100 juta pada tahun ini telah diagihkan hampir keseluruhannya dan insya-Allah, hal yang sama kita akan laksanakan sebaik mungkin,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Zulkifli menjawab dakwaan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Bebas Simpang Renggam, Dr Maszlee Abdul Malik dan Ahli Parlimen PH Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mencelah ketika beliau membuat penggulungan.

Dalam perkembangan lain, peningkatan RM42 juta dalam peruntukan pembinaan dan menaik taraf masjid serta surau, beliau memberitahu, kenaikan berlaku disebabkan kenaikan elaun kepada guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

“Peningkatan RM42 juta itu disebabkan elaun KAFA dari kenaikan RM100 dari RM900 kepada RM1,000 dan peruntukan tersebut berkenaan masjid dan surau bagi Wilayah Persekutuan dan agensi Persekutuan yang berkaitan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.