RM1.4b bangun ekosistem, hab rantaian global

82

30 NOV: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan pelaburan asing (FDI) di rantau ini, pada masa depan.

Ini termasuk dengan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion menerusi Belanjawan 2021 bagi membangunkan ekosistem dan hab rantaian bekalan global di lokasi strategik di seluruh negara, mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti pelbagai langkah efektif termasuk memperkasakan sistem penyampaian kerajaan dengan mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek pelaburan.

LIM BAN HONG
LIM BAN HONG

Beliau berkata MITI menerusi juga sudah menyediakan platform digital lesen pengilangan elektronik (e-ML), Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) dan menubuhkan pusat sehenti (OSH) bagi memudahkan kelulusan lesen dan mempercepatkan proses pelaksanaan projek-projek pengilangan di Malaysia.

“Kedua menawarkan insentif galakkan pelaburan FDI masuk ke Malaysia dan ketiga dengan menganjurkan seminar pelaburan secara maya dengan pelbagai pihak berkepentingan sebagai conton dengan dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

“Kita juga menganjurkan misi pelaburan khusus untuk menarik FDI dari luar negara ke Malaysia pada masa depan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen BN Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang meminta Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyatakan unjuran pelaburan luar negara secara langsung (FDI) bagi tahun 2021 serta usaha yang dilakukan bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Dalam pada itu, Ban Hong berkata sehingga 30 Oktober 2020 kerajaan melalui MIDA menilai sejumlah 786 projek pelaburan dengan nilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan sebelum dibawa ke jawatankuasa peringkat kebangsaan mengenai pelaburan (NCE) untuk keluluskan.

Pada masa yang sama, MIDA juga sedang mengenal pasti sejumlah 23 projek berprofil tinggi dan berpotensi dengan nilai pelaburan RM75.4 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan daripada FDI dari pelbagai negara disasarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia pada 2021.

Berikutan itu, beliau memberitahu, MITI menerusi MIDA akan terus berusaha untuk membawa masuk kadar pelaburan FDI tinggi seperti tahun sebelum ini.

“Untuk mengetahui unjuran pelaburan luar negara secara langsung (FDI) bagi 2021 kita boleh berpandukan data berikut pertama dari tempoh januari hingga september 2020 lalu, pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama adalah berjumlah RM109.8 bilion.

“Sektor perkilangan adalah penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan diluluskan RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM42.8 bilion dan sektor utama RM1.7 bilion.

“Daripada jumlah itu, FDI menyumbangkan sebanyak 38.8 peratus atau bernilai RM42.2 bilion dan selebihnya RM67.2 bilion atau 61.2 peratus adalah pelaburan tempatan.

“Pelaburan diluluskan dalam tempoh ini adalah membabitkan 2,935 projek dan dijangka akan mewujudkan 64,701 peluang pekerjaaan,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.