Polis siasat mental lelaki Nigeria campak cucu tiri

136

30 NOV: Polis kini menyiasat dakwaan sama ada warga Nigeria yang mencampak cucu tirinya dari sebuah pangsapuri dekat Setapak semalam, mempunyai masalah mental dan pengikut kumpulan ajaran sesat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata selain dakwaan masalah mental itu dibuat oleh keluarga dan rakan suspek, lelaki itu juga dikaitkan dengan isu ajaran sesat yang turut disiasat.

“Suspek dikatakan ada mengambil ubat berhubung sakit yang dialami. Dia dikatakan ada sedikit masalah sakit mental dan mengambil ubat.

“Justeru, polis menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengulas lanjut kes itu, Saiful Azly berkata, suspek kini sudah direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Mengenai isteri dan dua anak tiri suspek, beliau berkata, tiga beranak itu masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Selain itu, katanya proses bedah siasat juga akan dijalankan terhadap mangsa berusia empat tahun.

“Polis juga kini sedang menyiasat dakwaan suspek turut terbabit dengan ajaran sesat atau tidak,” katanya.

Saiful Azly menjelaskan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377c Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang budak lelaki berusia 4 tahun maut selepas dicampak datuk tirinya dari tingkat empat, sebuah pangsapuri di Danau Kota, Setakat.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Sufi Muhd Norkhusairi, dicampak selepas lelaki itu seorang warga Nigeria berusia 42 tahun, cuba merogol anak tirinya yang juga ibu kepada Muhammad Adam, dalam kejadian sekitar 7.40 pagi semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.