Persoal UKAS, Kian Ming ditempelak kurang arif

710

30 NOV: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas dakwaan Ahli Parlimen PH Bangi, Dr Ong Kian Ming berhubung penyalahgunaan kuasa Unit Kerjasama Awam Swasta, (UKAS) yang kini diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perdana Menteri.

Mustapa memberitahu, pihaknya memberi jaminan terdapat mekanisme semak dan imbang yang baik di samping pentadbiran urusan serta memiliki garisan panduan dan beberapa jawatankuasa yang mantap bagi memastikan unit tersebut sentiasa berintegriti dan amanah dalam melaksanakan tugas.

“Mungkin Yang Berhormat kurang arif pasal perkara ini kerana Yang Berhormat dulu Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) tidak bertanggungjawab tentang perkara ini. Saya beri jaminan terdapat mekanisme semak dan imbang, tadbir urus yang mantap dan garis panduan yang mantap ada beberapa jawatankuasa.

“Jadi, prosedurnya kena pergi ke Jemaah Menteri. Maknanya kelulusan bukan kepada pegawai atau menteri tetapi apabila melibatkan projek “public private partnership” kena rujuk kepada Jemaah Menteri. Jadi, saya ingin beri jaminan tiada penipuan dan jawatankuasa UKAS ini jawatankuasa kerjasama hal ehwal swasta.

“Ada Kementerian Kewangan, ada Unit Perancang Ekonomi, ada Peguam Negara, pejabat tanah dan galian, Jabatan Penilaian Harta. Jadi, maknanya ada kaedah-kaedah mantap agar tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Penjelasan dari Mustapa itu membuatkan Kian Ming tidak berpuas hati dan terus mendesak agar UKAS ini dikembalikan peranannya kepada Kementerian Kewangan seperti dilaksanakan oleh Pakatan Harapan.

Walau bagaimanapun, jawapan balas yang diberikan oleh Ahli Parlimen itu membuatkan Kian Ming terdiam tanpa sebarang pertanyaan.

“Bangi tiada kepercayaan kepada saya namun saya akan memastikan sebarang kelemahan yang berlaku akan kita dapat atasi,”katanya.

Terdahulu, berkaitan peruntukan projek khas, Mutapa memberi jaminan bahawa segala projek yang dilaksanakan di bawah projek tersebut tulus seperti yang dibangkitkan di dalam Dewan Rakyat.

“Tadi ada tuduhan berkaitan tiada ketulusan, saya beri jaminan unsur-unsur itu tidak ada umpamanya tahun lepas 2019, antara projek-projek ini untuk jalan raya, pusat pendidikan, dewan komuniti dan rumah ibadat.

“Tahun ini jumlahnya agak besar diberikan untuk Sabah dan kawasan-kawasan Felda kerana Felda kita dapati kurang peruntukan maka kita buat keputusan luluskan peruntukan permohonan dari Pahang dan Sabah, Negeri Sembilan yang antaranya (disediakan) untuk Felda,”katanya.

Dalam pada itu, berkaitan Felda, Mustapa memberitahu, sebanyak RM300 juta bagi menghapuskan hutang peneroka dilaksanakan kerajaan bagi meringkankan beban yang ditanggung mereka khsususnya ketika berdepan pandemik COVID-19.

Tambah beliau, sebanyak RM100 juta juga diperuntukan pada tahun hadapan bagi pembangunan peneroka khususnya projek pertanian bagi meningkatkan hasil pendapatan harian mereka. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.