Kos RM4.8j program rawatan, pemulihan perokok

44

30 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan sebanyak RM4.8 juta bagi program rawatan dan pemulihan perokok, sepanjang 2018 hingga 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, dua jenis rawatan untuk berhenti merokok ditanggung KKM adalah pertama, ubat terapi pengganti nikotin termasuk pelekat nikotin atau patch yang ditampalkan pada kuit badan perokok dan gula-gula getah nikotin.

Beliau berkata, kaedah rawatan kedua pula dikenali sebagai rawatan farmokologi terapi bukan pengganti nikotin.

Adham Baba
ADHAM BABA

“Pada tahun 2018, KKM membelanjakan RM2 juta dan pada 2019, RM2.8 juta dibelanjakan untuk tujuan berkenaan. Namun jumlah mereka yang menerima rawatan farmakologi telah berkurangan kepada 9,222 orang atas faktor kenaikan harga ubat-ubatan semasa.

“Justeru, KKM juga melaksanakan satu inisiatif menerusi kerjasama awam dan swasta (PFI) bersama pertubuhan bukan kerajaan serta pihak swasta di bawah satu program berhenti merokok dinamakan ‘mQuit’,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen PH Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan jumlah kos ditanggung oleh kerajaan untuk program berhenti merokok seperti ‘mQuit’ dan sejauh manakah keberkesanannya.

Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, perkhidmatan mQuit bermula sejak fasa satu pada 2015 hingga 2017 dan fasa kedua 2017 hingga 2020, bakal dilanjutkan ke fasa ketiga 2021 hingga 2025 dengan termeterai memorandum persefahaman dengan KKM.

Malah, beliau berkata, semua peruntukan kewangan bagi melaksanakan aktiviti mQuit bagi setiap fasa adalah ditanggung oleh badan profesional berkenaan.

“Program mQuit menunjukkan keberkesanan seperti menerusi permantauan ‘return’ berkala jumlah perokok berdaftar untuk mendapatkan khidmat rawatan berhenti merokok meningkat daripada 10,240 (2017) kepada 22,601 pada 2019.

“Menerusi promosi penggalakan berhenti merokok semasa pendemik COVID-19, seramai 3,442 sudah mendapat menerusi laman sesawang ‘Jom Quit’ bermula 1 Januari hingga 31 Oktober lalu berbanding keseluruhan pada 2019 iaitu seramai 1,678 orang,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.