KKM terima laporan klinikal fasa tiga minggu depan

68

30 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangka menerima laporan pertama kajian klinikal fasa ketiga vaksin COVID-19 minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, laporan itu akan diberikan oleh salah satu daripada 10 syarikat penyelidik vaksin yang telah berunding dengan Malaysia sebelum ini.

Jelas beliau, Malaysia membuat rundingan awal dengan 10 daripada 12 syarikat vaksin COVID-19 yang menjalankan fasa ketiga penyelidikan bagi menjamin negara boleh mendapat bekalan selepas vaksin itu didaftarkan.

“Kebimbangan Malaysia ialah apabila vaksin itu sudah didaftarkan bekalan tidak mencukupi kerana semua negara ingin mendapatkan bekalan vaksin pada masa sama.

“Ini (rundingan) adalah tindakan proaktif selepas belajar daripada gelombang kedua COVID-19 yang ketika itu sukar mendapatkan bekalan PPE dan ventilator kerana semua negara membelinya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, sebanyak 23,408 kes COVID-19 atau 35.7 peratus yang dikesan di negara adalah kes sporadik atau dikenal pasti sebagai kes jangkitan dalam komuniti.

Noor Hisham berkata, peratusan itu adalah daripada jumlah keseluruhan kes yang dicatatkan di negara ini iaitu sebanyak 65,697 kes.

Beliau berkata, ada juga kes yang sebelum ini dikategorikan sebagai sporadik namun selepas menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat ia kemudiannya dikaitkan dengan kluster tertentu.

“Seperti yang saya kata sebelum ini, virus COVID-19 ini sudah ada dalam komuniti kita. Sebab itu kita mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk elak diri kita dari dijangkiti,” katanya.

Ditanya sekiranya terdapat kes yang dikesan berpunca daripada penggunaan pengangkutan awam, Dr Noor Hisham berkata, bagi gelombang ketiga ini tiada kes seumpama itu dikesan.

“Namun kes seperti ini ada dilaporkan ketika gelombang kedua iaitu dalam Kluster pesakit bawah siasatan (PUI) Melbourne yang mendapat jangkitan di dalam kapal terbang.

“Kemungkinan (jangkitan dalam pengangkutan awam) itu akan berlaku dan rakyat dinasihatkan untuk patuh SOP seperti memakai pelitup muka ketika di tempat sesak dan sempit.

“Paling penting untuk kita ialah sentiasa mematuhi SOP dan lakukan langkah pencegahan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.