Hanya boleh tangguh dengan perkenan Agong

76

30 NOV: Kerajaan hanya boleh mengisytiharkan Proklamasi Darurat bagi menangguhkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya; Parlimen Gerik dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu adalah selari dengan peruntukan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan seperti diperkenankan Al-Sultan Abdullah dalam kes penangguhan PRK Parlimen Batu Sapi, sebelum ini.

takiyuddin

Beliau berkata, perkara berkenaan hanya boleh dilaksanakan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa sesuatu kawasan DUN atau Parlimen atau seluruh Malaysia boleh diisytiharkan darurat termasuklah dalam proses penangguhan PRK Batu Sapi, baru-baru ini.

“Yang di-Pertuan Agong bersetuju mengisytiharkan darurat di kawasan PRK Parlimen Batu Sapi menyebabkan ia tidak perlu diadakan seperti mana diperuntukan mengikut undang-undang.

“Tindakan yang sama dijangka diberikan pertimbangan oleh kerajaan sekiranya suasana sama di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya selepas kerajaan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa di Parlimen, sebentar tadi.

Menjawab soalan dibangkitkan Ahli Parlimen BN Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, mengenai kenapa peruntukan bakal disalurkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dinaikkan kepada RM200 juta (pada 2021) berbanding hanya RM71 juta pada tahun ini, Takiyuddin menjelaskan peruntukan berkenaan adalah sebagai persiapan kos pengendalian dan proses PRN Sarawak yang ke-12, tidak lama lagi.

“Peruntukan berkenaan penting kerana tempoh DUN Sarawak akan berakhir, pada Jun 2021,” katanya yang turut memaklumkan proses pendaftaran pengundi berusia 18 tahun ke atas secara automatik dijangka dilaksanakan mulai Julai 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.