Batal jaminan ADB, jangan tuduh PN balas dendam

2,641

30 NOV: Dakwaan kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Kementerian Kewangan (MOF) menarik balik jaminan kerajaan terhadap pinjaman kerajaan negeri dari Bank Pembangunan Asia (ADB) bernilai RM2 bilion yang dipohon untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang, untuk membalas dendam, adalah tidak benar sama sekali.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, berkata ini kerana kerajaan permohonan pinjaman berkenaan tidak pernah diluluskan oleh Kabinet termasuk ketika PH memerintah dan Ahli Parlimen PH Bagan, Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan pada 2019.

Malah, Tengku Zafrul juga menjelaskan ADB juga gagal menyerahkan laporan ‘due diligence’ atau penelitian wajar berhubung kertas cadangan kebolehlaksanaan projek LRT terbabit seperti yang diminta kerajaan Malaysia.

“Untuk makluman MOF sudah menerima surat daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) bertarikh 25 Januari 2020 mengenai permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang yang berhasrat mendapatkan pinjaman daripada ADB bagi membiayai projek LRT bernilai AS$500 juta atau RM2 bilion.

“Berikutan itu ADB mencadangkan tiga opsyen iaitu pinjaman terus kepada kerajaan negeri dengan jaminan kerajaan Persekutuan Malaysia, pinjaman terus kepada kerajaan Malaysia yang akan disalurkan semula kepada kerajaan negeri dan pinjaman terus kepada pihak tertentu dengan jaminan daripada kerajaan Malaysia.

“Perbincangan lanjut antara MOF bersama pihak ADB serta wakil kerajaan negeri Pulau Pinang sudah dijalankan pada 17 Julai 2019 dan memutuskan supaya bank berkenaan perlu melaksanakan proses ‘due diligence’ bagi menyediakan kertas cadangan pinjaman projek secara terperinci.

“Pada 18 Julai 2019, bekas Menteri Kewangan YB Bagan (Lim Guan Eng) telah mengeluarkan surat bertajuk ‘Tiada Halangan’ kepada ADB untuk maksud melaksanakan ‘due diligence’.

“Bagaimanapun, kebenaran berkenaan tidak memberikan sebarang apa-apa obligasi undang-undang domestik mahu pun antarabangsa yang boleh dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan. Ia juga tidak boleh ditafsirkan sebagai satu penjajian mengikat pihak kerajaan,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menjelaskan, mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2019 bersetuju bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak boleh membuat pinjaman yang melibatkan jaminan kerajaan tanpa mendapatkan kelulusan kerajaan Persekutuan terlebih dahulu.

“Ini penting bagi mengelakkan beban hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan. Sebarang kelulusan terhadap pinjaman baharu membabitkan jaminan kerajaan hendaklah dipastikan menjadikan jumlah hutang kerajaan melebih had siling statutori hutang kerajaan seperti sudah ditetapkan.

“Justeru itu, MOF dan Menteri Kewangan tidak menerima laporan ‘due diligence’ ADB. Oleh itu isu jaminan pinjaman oleh ADB tidak berbangkit kerana perkara ini belum dibentangkan untuk kelulusan Kabinet. Oleh itu dakwaan kerajaan Persekutuan tidak prihatin terhadap pembangunan di Pulau Pinang adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, tindakan kerajaan Persekutuan untuk tidak meluluskan pinjaman kerajaan negeri Pulau Pinang dengan ADB adalah berkaitan dengan sumber pinjaman bukannya cadangan pembatalan projek.

Beliau berkata, seperti dimaklumkan semua projek pembangunan di setiap negeri perlu dikemukakan kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Saya mahu jelaskan MOF atau saya tidak penah menarik balik jaminan pinjaman ADB kepada kerajaan negeri Pulai Pinang kerana kita tidak pernah memberikan sebarang jaminan.

“Sekiranya kerajaan bersetuju untuk memberikan jaminan kepada pinjaman ADB kepada kerajaan negeri Pulau Pinang perlu dimasukkan dalam belajawan atau Rancangan Malaysia lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan keputusan MOF untuk tidak meluluskan pinjaman ADB pada 2019 adalah kerana ia tidak selaras dengan pandangan Bank Negara Malaysia kerana pasaran kewangan Malaysia mempunyai kecairan tinggi.

Tengku Zafrul menegaskan kerajaan Persekutuan juga bersedia membantu kerajaan negeri Pulau Pinang mendapatkan pinjaman dengan institusi kewangan tempatan dengan kadar keuntungan jauh lebih rendah berbanding 40 peratus jauh lebih tinggi dikenakan oleh ADB. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.