Ambil semula kakitangan kontrak dipecat zaman PH

832

30 NOV: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seharusnya mempertimbangkan untuk mengambil semula penjawat awam lantikan kontrak yang ditamatkan perkhidmatan semasa era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kebajikan mereka dan keluarga perlu diberi keutamaan dan sebarang kekosongan jawatan sebaik-baiknya diisi oleh bekas kakitangan kontrak terbabit.

“Jadi, pada hari ini kalau nak jadi hero, jadi hero, ambil balik pegawai-pegawai yang telah dibuang di mana melibatkan mereka, keluarga mereka, anak-anak mereka yang tidak diperjuangkan ketika itu.

“Tetapi sekarang ini pula mempertikaikan usaha kerajaan untuk mengambil pegawai-pegawai kontrak yang mana sebahagiannya telah dibuang kerja begitu zalim pada masa (kerajaan) lepas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan 2021) peringkat jawatankuasa dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

JASA
Kakitangan JASA hilang pekerjaan setelah agensi itu ditutup pentadbiran PH dahulu.

Beliau menegaskan, bekas penjawat awam kontrak terbabit terutamanya yang berkhidmat dengan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) teraniaya akibat tindakan PH menutup agensi tersebut.

Sehubungan itu, Shahidan mengingatkan pihak pembangkang agar menghentikan mainan politik terhadap usaha kerajaan sedia ada untuk membantu mereka.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) memberitahu, kerajaan perlu menaik taraf dan membaiki pagar sempadan Malaysia-Thailand yang dirosakkan penyeludup bagi meningkatkan jamisan keselamatan kawasan itu dari semasa ke semasa.

Menurut Shahidan, perkara itu harus dilaksanakan segera bagi mengelakkan tiada lagi anggota petugas keselamatan sempadan negara yang bertugas terbunuh selain mampu mengelakkan laluan-laluan tikus baharu diwujudkan oleh penjenayah.

“Kita tengok menaik taraf pagar keselamatan hanya RM300,000 setahun. Yang kita cadang masa kerajaan (BN) dulu, cadang supaya pagar konkrit ini dibina dari Padang Besar sehingga ke Perak kerana pagar ini mampu menghalang munculnya lubang-lubang tikus kerana pagar ini berkawat atau pagar besi ini telah mewujudkan lubang tikus sehingga berlaku peristiwa pembunuhan anggota kita.

“Itu sebab mereka memohon penggunaan dron diperkenalkan agar rondaan lebih baik dapat dilakukan. Saya minta pagar keselamatan ini diperhatikan semua. Kelulusan dahulu supaya pagar ini dapat dibina supaya dipertimbangkan semula,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.