415 individu ditahan kes penyalahgunaan dadah

97

30 NOV: Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan 415 individu berkaitan kes dadah di kawasan Bintangor, Sarikei, Tanjung Manis dan Pulau Bruit sepanjang tahun 2020.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes dicatatkan berkaitan kes pengedaran dadah dan 57 kes pula berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.

Menurut beliau, sebanyak 62 kes telah berhadapan dengan pertuduhan di mahkamah yang menjadikan sebanyak 854 jumlah keseluruhan kes berjaya dicatatkan di keempat-empat kawasan tersebut.

jonathan yasin
JONATHAN YASIN

“Di kawasan Bintangor, pengedarannya dalam tiga kes dan dalam kes memiliki sembilan kes, penyalahgunaan dadah 54 dan jumlah tangkapan 56. Terdapat lima pertuduhan dibuat dan jumlah kes mengikut kawasan adalah 137. Di kawasan Sarikei pula pengedaran bekalan seramai enam orang, memiliki 42 dan kes penyalahgunaan 247 kes.

“Jumlah tangkapan berjumlah 375 manakala pertuduhan 55 dan mengikut kawasan 671 semuanya. Di Tanjung Manis pula pengedaran satu kes memiliki dua kes penyalahgunaan dadah enam kes dan jumlah tangkapan 11 dan jumlah pertuduhan dua menjadikan jumlah keseluruhan kes 22. Di Pulau Bruit pula, hanya ada satu kes pengedaran dan empat orang telah memiliki dadah.

“Manakala penyalahgunaan enam dan jumlah tangkapan 13 dan jumlah pertuduhan pula adalah kosong menjadikan jumlah kawasan mengikut kes adalah 24,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen GPS Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab tentang jumlah kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah di kawasan Bintangor, Sarikei, Tanjung Manis dan Pulau Bruit serta jumlah tangkapan dan pendakwaan telah dilakukan oleh pihak PDRM.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Yusuf berkenaan jika kerajaan telah melakukan kajian bagi membina sebuah balai polis baharu di Pulau Bruit, Jonathan memberitahu pihaknya setakat ini belum ada cadangan bagi membina balai polis baharu di kawasan tersebut disebabkan anggota sedia ada mampu melaksanakan tugasan di kawasan tersebut.

“Jumlah keseluruhan perjawatan di Balai Polis Daro 18 orang yang diketuai oleh Ketua Polis berpangkat sarjan dibantu oleh 17 pegawai berpangkat rendah dan jarak perjalanan antara Balai Polis Daro ke Pulau Bruit sejauh 15 kilometer dengan anggaran penduduk seramai 32,000. Indeks jenayah pada 2019 sebanyak 26 kes manakala dari 1 Januari hingga 20 November sebanyak 21 kes.

“Buat masa ini, belum ada perancangan cadangan membina Balai Polis di Pulau Bruit di bawah perancangan Pembangunan Rancangan Malaysia namun demikian Kementerian Dalam Negeri melalui polis bahawa Balai Polis Daroh masih boleh menjalankan fungsinya berdasarkan struktur sedia ada termasuk melaksanakan rondaan di kawasan Pulau Bruit,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.