1,212 kes baru, 2,112 kes sembuh

767

30 NOV: Penularan baharu COVID-19 hari ini kekal empat angka dengan 1,212 kes dilaporkan di seluruh negara, turun sedikit berbanding 1,309 kes semalam.

Pada masa sama, hari ini menyaksikan kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 yang tinggi iaitu sebanyak 2,112 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi hari ini dengan 402 kes atau bersamaan 33.2 peratus.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, 308 adalah kes daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang giat dijalankan di lapangan.

Katanya, kedua tertinggi hari ini ialah Sabah dengan 326 kes dan diikuti Negeri Sembilan, 141 kes.

“Keseluruhannya jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 65,697 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 10,578 kes.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini, terdapat sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,203 kes pula adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara,” katanya dalam sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 113 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 360 kes.

“Kematian ke-358 adalah di Hospital Alor Setar melibatkan lelaki berusia 66 tahun manakala kes kematian kedua di Hospital Labuan yang membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun dan mempunyai latar belakang darah tinggi serta gout.

“Kes kematian ke-360 dilaporkan di Hospital Lahad Datu melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang mempunyai latar belakang darah tinggi dan buah pinggang kronik,” jelasnya.

Dalam pada itu, negeri lain yang melaporkan pertambahan kes hari ini ialah Kuala Lumpur, 119, Pulau Pinang (60), Johor (54), Kedah (31), Labuan (3), Sarawak (2), Pahang (2) manakala Kelantan dan Putrajaya masing-masing satu kes.

Terengganu, Melaka dan Perlis pula mencatatkan sifar kes baru hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham menjelaskan, sembilan kes import yang dikesan hari ini melibatkan tiga jangkitan dari Mesir, dua dari Nepal manakala masing-masing satu dari Arab Saudi, UAE, Filipina dan Pakistan. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.