Tak perlu timbul siapa tumpang siapa

178

29 NOV: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempelawa UMNO bergabung di bawah Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak pernah berniat menumpang kekuatan pengaruh yang ada pada UMNO.

Setiausaha Bersatu negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, politik hari ini harus dilihat dari sudut semasa dan tidak terlalu terikat dengan politik.

“Gabungan politik hari ini sudah berbeza. Memang suatu ketika dahulu BN (Barisan Nasional) merupakan gabungan yang sangat kuat dan ada kerangka sendiri. Kerangka BN ialah UMNO sebagai parti dominan.

“Pakatan Harapan (PH) pula lain kerangkanya, tiada parti dominan tapi hanya 22 bulan (jadi kerajaan). Ada parti dominan pun tak bertahan (jadi kerajaan), tiada pun tak bertahan,” katanya pada pada sidang media selepas Majlis Sumbangan Kebajikan Bersama Komuniti Indera Mahkota, Kuantan, hari ini.

Justeru itu, beliau berharap agar rakyat seharusnya tidak terus membuat kesimpulan kerana negara maju juga mempunyai pelbagai gabungan parti politik bahkan ada gabungan parti politik ditubuhkan selepas pilihan raya.

“Begitu juga PN. Ini eksperimen ketiga dan berilah peluang. Tak perlu fikir siapa tumpang siapa. Siapa dominan dan tidak dominan. Kalau kita terikat kerangka yang begitu rigid nanti kita susah nak bergerak,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.