Pindaan perlembagaan, sayap baru kuatkan akar umbi

88

29 NOV: Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Ketiga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), semalam, telah menentukan hala tuju parti untuk mengukuhkan peranan dan pembabitan dalam Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perhimpunan kali ketiga itu juga membuktikan kesediaan kepimpinan parti untuk memperkasakan kerjasama politik antara parti sekutu PN seperti Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“BERSATU mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan semua pihak yang terbabit menjayakan perhimpunan bersejarah, semalam.

“Parti yakin bahawa dasar dipersetujui pada PAT Ketiga, bakal meniupkan roh perjuangan segar dalam kalangan ahli untuk terus istiqamah dalam agenda membela agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, BERSATU mengadakan PAT Ketiga yang berlangsung secara maya dari lokasi ditetapkan mengikut negeri, dan dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat berikutan negara berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Hamzah berkata, PAT kali ini disertai 502 perwakilan dari semua peringkat, dan penganjuran perhimpunan tetap diteruskan bagi memenuhi tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan serta Perlembagaan BERSATU.

Beliau berkata, sebanyak 171 bahagian serta 2,579 cawangan telah bersidang.

Mengikut rekod, katanya, jumlah keahlian semasa parti ialah 508,725 orang berbanding 222,980 ketika PAT Kedua.

Selain meluluskan usul menyentuh aspek ekonomi, pendidikan dan sosial, beliau berkata, perwakilan sebulat suara meluluskan cadangan pindaan Perlembagaan yang dibentangkan Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan.

“Ini termasuklah pindaan Perlembagaan parti bagi tujuan penubuhan sayap baharu ahli bersekutu.

“Pindaan Perlembagaan itu bakal mengukuhkan lagi struktur organisasi dan kekuatan akar umbi BERSATU pada semua peringkat, selain membuktikan keterbukaan dan keterangkuman parti meliputi aspek keahlian mahupun dasar parti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.