Majlis Presiden ruang buat ketua parti salur pandangan

152

29 NOV: Penubuhan Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan presiden-presiden parti yang tidak berada di dalam Kabinet menyumbang pandangan masing-masing demi kepentingan pembangunan negara dan rakyat.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penubuhan itu juga bagi memperkukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merupakan pendekatan positif dan cukup terbuka terhadap presiden-presiden parti yang mendokong PN.

“Bukan semua ketua-ketua parti berada dalam Jemaah Menteri dan mungkin ada pandangan mereka. Jadi, Perdana Menteri ambil sikap cukup terbuka untuk memperkukuhkan kerajaan PN dan menimbangkan kemungkinan ada kewajaran untuk membentuk Majlis Presiden yang melibatkan semua ketua-ketua parti dalam kerajaan PN untuk mendengar dan pandangan maklum balas daripada mereka.

“Dan mungkin pandangan ini ada baiknya untuk dibincangkan kepada Jemaah Menteri bagi kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya kerana ketika ini kita sedang berdepan dengan suasana yang agak sukar untuk membendung COVID-19 dan juga menstabilkan ekonomi, maka pandangan-pandangan seperti ini baik dipertimbangkan demi kebaikan semua,” katanya dalam sidang media di Gombak, Selangor, hari ini.

Azmin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri memberitahu, dengan penubuhan Majlis Presiden PN ini akan memudahkan segala perancangan dalam gabungan itu dibuat.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, presiden-presiden parti yang menyertai PN akan membincangkan pandangan mereka terhadap kerajaan demi kepentingan rakyat.

“Sebelum ini kita sudah ada perbincangan tetapi dalam kerangka yang tidak formal seperti Perdana Menteri nyatakan beberapa hari lalu beliau telah bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara tertutup untuk membincangkan hati ke hati bagaimana UMNO, BN dan PN dapat melihat usaha-usaha kearah perkara yang saya nyatakan tadi.

“Mungkin kali ini baik kita lakukan secara lebih teratur dan terancang,” katanya.

Dalam pada itu, Azmin yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebolehnya kerajaan mahu mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat namun tidak dapat dilaksanakan berikutan penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara.

“Kalau boleh kami nak menyerahkan mandat ini kepada rakyat sebelum ini pun. Kalau boleh mungkin bulan lalu, atau pun minggu lepas tapi suasana tidak mengizinkan untuk kita mengadakan PRU.

“Maka kita mencadangkan sebaik saja penularan Covid-19 ini dapat ditangani dengan lebih berkesan kita bersedia untuk kembali kepada rakyat dan biarlah rakyat yang buat keputusan untuk masa depan negara ini dan kita bersedia untuk menghadapi PRU pada bila-bila masa,”katanya.

Sementara itu, Azmin turut melahirkan keyakinan bahawa kerajaan PN mampu mendapat tempat di hati rakyat dengan rekod yang cemerlang dalam mendepani penularan Covid-19.

“Kita yakin dengan sokongan daripada rakyat kepada kerajaan PN untuk terus memerintah kerana terbukti dalam tempoh yang begitu singkat banyak usaha yang telah kita lakukan.

“Seperti yang ditegaskan oleh Gabenor Bank Negara baru-baru ini pun dalam suku tahun ketiga tahun ini, kita lihat penguncupan pertumbuhan ekonomi itu lebih mengecil lebih kepada 2.7 peratus berbanding dengan suku tahun kedua di mana penguncupan itu lebih besar 17.1 peratus.

“Ini membuktikan hasil daripada pemulihan ekonomi itu ada kesannya dan suntikan ekonomi yang kita lakukan berjumlah RM305 bilion itu telah beri kesan yang positif. Saya kira dapat menilai apakah Kerajaan PN mampu menangani penularan COVID-19 atau sebaliknya dan Insya-Allah kita akan dapat kembali untuk meneruskan tugas yang berat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.