Majikan perlu atasi isu asrama sesak, sempit

167

29 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa pihak majikan memainkan peranan lebih besar dalam menangani penularan COVID-19, khususnya membabitkan pekerja asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memandang serius peningkatan kejadian penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja termasuk tapak pembinaan.

Menurut beliau, ini kerana tenaga kerja merupakan aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi termasuklah pekerja warganegara mahu pun bukan warganegara.

“Seperti yang KKM sering tekankan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit di kalangan pekerja misalnya isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan juga persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

“Memandangkan isu penularan COVID-19 di kalangan pekerja bukan warganegara adalah merupakan isu penting yang perlu ditangani, KKM menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar dalam sama-sama menanganinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini.

Justeru itu, Noor Hisham memberitahu masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani dengan segera bagi memastikan ianya tidak menjadi punca penularan jangkitan COVID-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“Ini selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Sehubungan itu, KKM menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya.

Terdahulu, menerusi kenyataan sama, Noor Hisham memaklumkan beliau turun padang bagi melakukan tinjauan aktiviti di lapangan bagi Kluster Tapak Bina Awan Baru.

Beliau berkata, kluster melibatkan daerah Kepong dan Cheras yang telah diisytiharkan semalam susulan kes-kes positif COVID-19 itu dikesan selepas saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan di Bandar Baru Sentul dilakukan.

“Sehingga 28 November 2020 jam 8 malam, seramai 482 individu telah disaring di mana 410 kes telah dilaporkan positif (positive rate 85.1%).

“Penilaian risiko dan pengesanan kontak rapat di kawasan tapak bina dan kawasan sekitar tempat kerja telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Kepong pada 27 November 2020.

Tambah beliau, tapak bina ini telah ditutup di bawah Seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November 2020 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.