648 ditahan ingkar PKP, separuh sebab kelab malam

57

29 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 648 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan lebih separuh daripadanya kerana kesalahan aktiviti pusat hiburan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 594 telah dikompoun manakala 54 individu lagi telah direman.

Ismail Sabri Yaakob

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), dan lain-lain (26).

“Sebanyak 2,437 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 11,746 anggota telah membuat pemantauan di 3,281 pasar raya, 4,316 restoran serta 1,302 penjaja, 1,097 kilang, 3,047 bank dan 410 pejabat kerajaan. Juga dipantau, sebanyak 878 terminal pengangkutan darat, 228 terminal pengangkutan air serta 84 terminal pengangkutan udara,”katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 99 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta dua penyeludup berjaya ditahan di samping dua kenderaan berat berjaya dirampas.

Tegas beliau, pihak berkuasa juga telah membuat 280 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” tegasnya.

Sementara itu, Ismail berkata seramai 10,611 daripada 77,211 individu yang pulang ke tanah air dalam tempoh 24 Julai hingga semalam, sedang menjalani proses kuarantin wajib

Beliau menambah ada juga individu yang pulang ke tanah air dalam tempoh berkenaan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Seramai 405 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 66,195 individu dibenarkan pulang ke rumah.

“Mereka ditempatkan di 79 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak,Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan untuk proses terbabit, “katanya. – Oleh-AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.