1,309 kes baru, KL pula tertinggi

844

29 NOV: Kes baharu COVID-19 hari ini kekal empat angka dengan 1,309 kes dilaporkan di seluruh negara di mana Kuala Lumpur melaporkan penularan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 95.9 peratus daripada 493 kes harian di Kuala Lumpur adalah akibat kes daripada kluster tapak pembinaan.

Katanya, kedua tertinggi hari ini ialah Sabah dengan 290 kes (22.2 peratus) dan Selangor sebanyak 238 kes (18.2 peratus).

“Keseluruhannya jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 64,485 kes manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula adalah 11,481 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu (1) kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,308 kes pula adalah merupakan penularan COVID-19 dalam negara,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 116 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tiga kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 357 kes.

“Kematian ke-355 adalah di Hospital Ipoh melibatkan lelaki berusia 64 tahun manakala kes kematian kedua di Hospital Seremban yang membabitkan seorang lelaki berusia 89 tahun dan mempunyai latar belakang kanser perut.

“Kes kematian ke-357 dilaporkan di Hospital Tawau melibatkan seorang wanita berusia 53 tahun yang mempunyai latar belakang kencing manis,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,333 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada COVID-19 adalah 52,647 kes (81.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” ujarnya.

Dalam pada itu, negeri lain yang melaporkan pertambahan kes hari ini ialah Perak dengan 77 kes, Kedah (52), Pulau Pinang (46), Johor (37), Labuan (35), Negeri Sembilan (32), Kelantan (6) manakala Pahang, Melaka dan Terengganu masing-masing satu kes.

Sarawak, Perlis dan Putrajaya pula mencatatkan sifar kes baru hari ini.

Dalam pada itu, Noor Hisham menjelaskan maklumat mengenai kes kematian melibatkan seorang lelaki beruia 130 tahun di Tuaran semalam diperoleh daripada keluarga kerana individu berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.