Tubuhkan Bank Pembangunan Wanita – Rina

74

28 NOV: Bank Pembangunan Wanita perlu ditubuhkan bagi memperkasakan agenda pembangunan ekonomi wanita secara lebih berfokus dan berkesan.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, walaupun terdapat skim pinjaman khas untuk usahawan wanita di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Bank dan bank-bank pembangunan, kadar kadar penyaluran dana kepada mereka masih rendah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberitahu, masih terdapat perbandingan berdasarkan gender yang melibatkan kemudahan pinjaman dan kemudahan membesarkan perniagaan oleh wanita.

Rina mendakwa, usahawan wanita masih diperkecilkan keupayaan bagi menerajui perniagaan yang besar dalam negara juga di peringkat antarabangsa

Rina Harun menyampaikan ucapan dasar secara maya dalam Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu Kali Keempat di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

“Oleh kerana itu, adalah bagus jika kita punya sebuah bank khas untuk golongan wanita.

“Menjadi salah satu hasrat saya untuk menubuhkan Bank Pembangunan Wanita yang dapat memanfaatkan golongan wanita terutamanya dalam memberi khidmat nasihat kewangan dan perniagaan, rundingan kewangan, latihan keushawanan serta mewujudkan perkhidmatan kemudahan seperti pinjaman khas kepada golongan wanita dalam agenda pembangunan ekonomi wanita, yang mana akan lebih berfokus dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar secara maya dalam Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu Kali Ketiga di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Rina menegaskan komitmen untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai usahawan wanita dalam usaha menyemarakkan agenda pengukuhan ekonomi di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Lebih ramai wanita di dalam ekonomi akan mewujudkan kesan kitaran yang positif, di mana lebih banyak peluang-peluang pekerjaan yang bersesuaian dapat diwujudkan dan bentuk-bentuk latihan dan pengukuhan dapat diseragamkan,” jelasnya.

Beliau menambah, agenda pemerkasaan wanita juga akan dapat diperhebatkan, bila wanita mempunyai kekuatan ekonomi dan dapat mencapai tahap kemandirian hidup yang dirancangkan.

Rina percaya, sekiranya lebih ramai usahawan wanita dapat dilahirkan, maka mereka akan lebih cepat keluar dari kepompong kemiskinan dan setiap keluarga bakal menikmati hasil pendapatan yang lebih baik.

“Sekali gus, kita akan dapat meningkatkan keupayaan wanita untuk mencari sumber pendapatan, dan bukan hanya berpeluk tubuh,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.