Tubuh Majlis Presiden dianggotai semua sekutu PN

352

28 NOV: Majlis Presiden seharusnya diwujudkan untuk memperkukuhkan lagi hubungan antara parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sarawak (GRS).

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mesyuarat secara berkala boleh diadakan untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan dasar-dasar ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain.

Beliau yang juga Perdana Menteri berpandangan, langkah itu penting kerana tidak semua ketua parti berada dalam Kabinet.

“Menerusi mesyuarat ini, setiap ketua parti boleh menyampaikan pandangan parti masing-masing mengenai dasar-dasar utama kerajaan untuk diambil perhatian oleh Kabinet dalam membuat sesuatu keputusan.

“Jadi, saya hendak beritahu saudara dan saudari para perwakilan sekalian, hala tuju parti kita di masa hadapan ialah untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti dalam PN, BN, GPS dan GRS,” katanya ketika meyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ketiga yang diadakan secara maya di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut menyuarakan tentang betapa pentingnya pertembungan tiga penjuru melibatkan parti-parti yang membentuk kerajaan PN dielakkan semasa pilihan raya nanti.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, program-program bersama akan diatur di peringkat pusat, negeri dan akar umbi untuk mewujudkan hubungan kerjasama yang lebih erat antara parti-parti dalam kerajaan PN.

Beliau turut mengumumkan, Bersatu telah membuat keputusan untuk menggunakan logo PN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Saya percaya, dalam pilihan raya umum yang akan datang, PN akan diterima baik oleh rakyat Malaysia.

“Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan penerimaan rakyat Malaysia terhadap PN adalah tinggi,” jelasnya.

Muhyiddin menambah, PN juga sedang menimbang permohonan daripada parti-parti politik lain yang berhasrat untuk menyertai PN dalam masa terdekat.

Pengerusi PN itu berkata, penyertaan parti-parti lain itu akan menjadikan PN sebagai sebuah gabungan politik yang berciri nasional serta mewakili kepentingan seluruh rakyat.

“Asasnya mudah. Kita tidak boleh bersendirian. Kita memerlukan rakan-rakan dari parti-parti politik yang lain untuk menghadapi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Bersatu jika bertanding secara bersendirian, mungkin boleh menang kerusi, tetapi tidak mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.