Sarjan Norihan terima watikah penghargaan Agong

158

28 NOV: Anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, yang cedera dalam insiden berbalas tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand pada Selasa lalu, hari ini menerima watikah dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Penyerahan itu dilakukan juruiring baginda, Datuk Yahaya Othman bersama Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan, ketika menziarahi Norihan, 39, dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, jam 12 tengah hari tadi.

Yahaya berkata, berdasarkan riak wajah Norihan menunjukkan bahawa anggota Senoi Praaq Batalion 3 PGA itu, terharu dengan perhatian diberikan Seri Paduka terhadap dirinya.

“Seri Paduka menitahkan saya untuk menziarahi Sarjan Norihan dan menyampaikan titah baginda ke atas keprihatinan Sarjan Norihan dalam mempertahankan benteng pertahanan negara.

“Melalui riak wajah Sarjan Norihan menunjukkan reaksi bahawa dia amat teruja dan terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan Seri Paduka.

“Seri Paduka dan Permaisuri turut mendoakan supaya Sarjan Norihan cepat sembuh dan memperoleh kesihatan yang baik supaya dapat terus berkhidmat untuk negara,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi HPP, hari ini.

Sementara itu, Sahabudin berkata, keadaan kesihatan Norihan menunjukkan perkembangan amat baik dan positif, berbanding semalam apabila sudah mampu berkomunikasi.

“Jika semalam, apabila bercakap dia hanya memberi reaksi dengan mengangguk kepala tetapi syukur hari ini, dia sudah boleh bercakap, selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang melawatnya.

“Mengikut maklum balas daripada doktor, semangatnya amat kuat dan dia juga mengingati apa yang berlaku terhadap diri serta rakan sejawatannya,” katanya.

Jelasnya, doktor turut memberitahu bahawa masih ada sebutir peluru yang belum dikeluarkan pada bahagian paru-paru dan sedang membuat pemerhatian sebelum menjalankan pembedahan susulan.

Dalam kejadian pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan bersama seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian dada dan perut.

Norihan pula cedera parah selepas berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di lokasi kejadian iaitu kira-kira 600 meter dari pos kawalan tempat mereka bertugas.

Baharuddin dan Norihan, adalah anggota unit Senoi Praaq Batalion 3 PGA (PDRM), yang terbabit dalam pengumpulan maklumat, terserempak dengan kira-kira 13 penyeludup sebelum berlakunya insiden berbalas tembakan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.