PRU-15: Srikandi Bersatu mahu 30 peratus calon wanita

127

28 NOV: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta Perikatan Nasional (PN) menetapkan kuota 30 peratus calon wanita mewakili parti dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Rina Mohd Harun membangkitkan persoalan tentang jumlah wakil rakyat wanita mewakili parti dan keanggotaan pemimpin Srikandi Bersatu dalam Kabinet.

Beliau menegaskan, situasi itu tidak boleh dibiarkan berterusan justeru, seluruh ahli Srikandi Bersatu perlu terus memperkasakan diri untuk menjadi wakil rakyat.

“Kita akan adakan kursus kepimpinan Srikandi untuk melatih pelapis-pelapis negara. Saya juga mahukan calon yang menang, bukan sekadar menjadi calon sahaja,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar secara maya dalam Perhimpunan Agung Srikandi Bersatu Kali Ketiga di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, hari ini.

Rina juga akan memastikan kuota itu ditunaikan dan calon-calon wanita nanti akan diberi kawasan strategik untuk menang, dan bukannya diletakkan di kawasan asal muat.

“Saya yakin, rakan-rakan sayap wanita rakan sekutu kita seperti Muslimat PAS sama-sama mahukan perkara ini tertunai,” jelasnya.

Sebagai persiapan menghadapi PRU-15, beliau menyeru jentera Srikandi Bersatu supaya memperkukuhkan benteng pertahanan dan pada masa yang sama, mengatur strategi serangan terhadap pihak musuh.

Rina menambah, semua pemimpin dan ahli Srikandi Bersatu juga perlu mengatur gerak kerja kempen membuka lebih banyak cawangan sayap itu mulai sekarang.

“Agenda Pemerkasaan Srikandi 2020-2035 perlu dilaksanakan dengan penambahan keahlian seramai sejuta orang dicapai menjelang dalam memastikan kemenangan kita bagi PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau turut meminta mereka terus bersama rakyat untuk menyelami hati mereka.

“Semoga permuafakatan yang ada di antara kita menjadi kemenangan pada pilihan raya umum akan datang,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.