Keluarga dakwa Maradona mati kerana kecuaian

165

28 NOV: Keluarga legenda bola sepak dunia, Diego Armando Maradona mula mempersoalkan punca kematian mendiang dan mendakwa terdapat beberapa bukti yang menunjukkan kecuaian.

Memetik laporan AFP, pihak pendakwa Argentina memulakan siasatan semalam berhubung kematian Maradona.

Peguam Matias Morla yang mewakili Maradona sebelum ini mendesak siasatan selepas mendakwa ambulans mengambil masa lebih setengah jam untuk sampai ke rumah pemain bola sepak itu pada hari kematiannya.

Laporan bedah siasat awal menyatakan, Maradona, 60, mati dalam tidur pada tengah hari Rabu lalu dan punca kematian adalah kerana masalah paru-paru serta serangan jantung yang kronik.

“Kes dibuka kerana ini membabitkan kematian di rumah dan tiada sesiapa yang menandatangani sijil kematian, namun tidak bermakna ada berlaku kecuaian atau kita mengesyaki kematian ini,” kata sumber.

Seorang ahli keluarga berkata, Maradona menerima rawatan di rumahnya di Tigre, utara Buenos Aires, selepas menjalani pembedahan membuang darah beku dalam kepala awal November lalu.

“Kita perlu teliti sama ada pasukan perubatan yang menjaganya 24 jam sehari, melakukan tugas mereka sebaik mungkin atau ada yang alpa.

“Ini kerana seorang jururawat yang memberi keterangan kepada pasukan penyiasat pada hari kematian kemudian mendakwa dipaksa membuat kenyataan terbabit dan keterangannya pula bercanggah,” katanya kepada AFP.

Pihak pendakwa sedang menunggu laporan toksikologi bedah siasat mayat Maradona selain meminta semua rekod perubatan dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mendiang.

Pihak pendakwa menambah, jururawat bertugas memberitahu mereka bahawa dia mendengar mendengar Maradona bergerak di katilnya sekitar jam 7.30 pagi.

Mereka juga menerima rekod mengatakan setiausaha peribadi Maradona meminta bantuan ambulans daripada syarikat +VIDA pada jam 12.17 tengah hari, yang kemudian tiba pada jam 12.28 tengah hari.

Ambulans daripada beberapa syarikat lain turut tiba selepas itu, termasuk yang diminta oleh doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque, yang membuat panggilan kecemasan 911 pada jam 12.16 tengah hari.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.