DAPSY jangan biadab, PKR beri amaran keras

850

28 NOV: Perbalahan antara PKR dan DAP berikutan tiada persefahaman dalam isu kelulusan Belanjawan 2021 semakin panas dan tegang.

Yang terkini, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, memberi amaran kepada Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Eric Teh Hoong Keat, supaya jangan bersikap biadap terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Farhash Wafa memberi amaran keras itu selepas pemimpin sayap DAP berkenaan menggesa Anwar memohon maaf secara terbuka selepas pembangkang gagal mendapatkan undi belah bahagi ketika perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.

Beliau berkata, Eric perlu lebih berhemah memberi teguran sekiranya tidak bersependapat dengan arahan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

“Cadangan untuk pertimbangan ‘berpisah’ dengan PKR dan menyusun semula barisan pembangkang hanya mengundang perpecahan.

“Sekiranya pemikiran sebegini wujud di dalam PH, maka apa gunanya meletakkan amanah dan kepercayaan kepada pemimpin?” katanya dalam kenyataan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi mengingatkan DAPSY supaya jangan berlagak seperti ‘abang besar’ dengan mendesak Anwar meminta maaf.

Beliau berkata, tindakan itu diaanggap sama seperti membuli Anwar dan PKR yang telah lebih 20 tahun berjuang memperkukuhkan gabungan parti pembangkang.

“Justeru saya menyeru agar DAPSY dan setiausahanya agar tidak cepat lupa daratan dan membuat sebarang kenyataan tanpa merujuk pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Terdahulu, Eric dilapor menggesa DAP agar mempertimbangkan untuk berpisah dengan PKR sekiranya Anwar enggan meminta maaf secara terbuka berikutan kegagalan melakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021.

Eric berkata, selepas berpisah dengan PKR, DAP perlu menyusun semula pasukan pembangkang dan menjadikannya lebih berkesan.

Pemimpin DAPSY itu menambah, Anwar telah mengakui beliau memberi arahan supaya DAP dan PKR agar tidak menyokong usul undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Anwar mendedahkan Belajawan 2021 lulus peringkat dasar kerana majoriti pembangkang mahu memberi peluang kepada kerajaan dengan tidak menyokong undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, majoriti kem pembangkang bersetuju untuk berbuat demikian, namun akan kembali membahaskannya pada peringkat jawatankuasa Isnin nanti.

Ahli Parlimen Port Dickson itu, berkata beliau terdahulu meminta Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.