6 kluster baharu dikesan, 180 kluster masih aktif

110

28 NOV: Kementerian Kesihatan mengesan sebanyak enam kluster baharu, sekali gus menjadi sebanyak 355 kluster dilaporkan sejak COVID-19 melanda negara.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster PTS Sibuga dikesan di Sandakan dengan kes indeksnya telah dilaporkan positif COVID-19 pada 5 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 324 individu telah disaring, di mana 104 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menambah, Kluster Tapak Bina Jesselton melibatkan Kota Kinabalu dan kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November 2020 hasil saringan di tempat kerja.

Dr Noor Hisham memberitahu, sehingga 28 November 2020, sejumlah 181 individu telah disaring, di mana 44 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

Satu lagi kluster dikesan di Sandakan iaitu Kluster Dermaga di mana kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 pada 24 Oktober 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 297 individu telah disaring, di mana 34 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini,” jelasnya.

Kluster keempat iaitu Kluster Tempasuk dikesan di Kota Belud dengan kes indeksnya dilaporkan positif COVID-19 pada 24 November 2020 melalui saringan individu bergejala.

Dr Noor Hisham menjelaskan, sehingga 28 November 2020, sejumlah 149 individu telah disaring, di mana 12 kes telah dikesan positif COVID-19 dalam kluster ini.

“Kluster UD SS2 melibatkan daerah Petaling, Selangor. Kes indeks telah dilaporkan positif COVID-19 pada 27 November 2020 hasil saringan individu bergejala.

“Sehingga 28 November 2020, sejumlah 40 individu telah disaring, di mana 13 kes telah dikesan positif COVID-19,” katanya.

Kluster Tapak Bina Awan Baru pula dikesan di Kepong dan Cheras dan kes-kes dalam kluster ini telah dilaporkan positif COVID-19 pada 28 November 2020 melalui saringan bersasar ke atas pekerja-pekerja di sebuah tapak pembinaan.

Sehingga 28 November 2020, sejumlah 442 individu telah disaring, di mana 31 kes telah dikesan positif COVID-19.

Dua kluster tamat hari ini iaitu Kluster Menara dan Kluster Simera, menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 180 kluster.

Sebanyak 44 kluster melaporkan pertambahan kes dan kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Enggor (126 kes), Kluster Teratai (90 kes) dan Kluster Bintang (71 kes). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.