577 individu ditahan ingkar arahan PKP

60

28 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 577 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam dan daripada jumlah itu, 522 individu dikompaun manakala 55 orang lagi direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (215), aktiviti pusat hiburan (116), tidak memakai pelitup muka (113), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (71), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (9).

Beliau berkata, pihak berkuasa juga berjaya menahan 49 pendatang tanpa izin (PATI), dua penyeludup serta merampas empat kenderaan darat hasil daripada 278 Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Benteng dijalankan di seluruh negara, semalam.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 11,995 operasi sanitasi merangkumi 137 zon, sejak 30 Mac 2020.

Beliau berkata sebanyak 14,155 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,864 pusat perniagaan, 1,659 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,771 tempat awam, 357 pasar raya dan 6,504 bangunan kerajaan.

“Semalam (27 November 2020), sebanyak 38 operasi sanitasi meliputi 16 Zon Merah, 6 Zon Jingga, 7 Zon Kuning dan 2 Zon Hijau yang melibatkan 12 negeri iaitu Sabah (12 operasi), Melaka (lima), Selangor (empat); masing-masing tiga operasi di Johor, Perak dan, Kelantan; masing-masing dua di Pahang dan Pulau Pinang; manakala satu operasi di Negeri Sembilan, Perlis, Sarawak dan Terengganu.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 76,807 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa, sejak 24 Julai sehingga 27 November 2020.

Beliau berkata kesemua mereka ditempatkan di 79 Hotel dan 18 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut PengajianSwasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“Daripada jumlah itu, seramai 10,923 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 405 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan. Seramai 65,479 individu telah dibenarkan pulang,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.