Pfizer bekalkan 12.8 juta dos vaksin kepada Malaysia

225

27 NOV: Malaysia akan mendapatkan bekalan 12.8 juta dos vaksin COVID-19 bagi menampung keperluan imunisasi untuk 20 peratus atau 6.4 juta rakyat negara ini melalui perjanjian pembelian awal yang ditandatangani kerajaan melalui Kementerian Kesihatan dengan syarikat farmaseutikal, Pfizer pada 24 November lalu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin yang mengumumkan perkara itu pada sidang akhbar hari ini berkata, vaksin berkenaan akan dibekalkan secara berperingkat pada suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat 2021.

Jelas Muhyiddin, penghantaran pertama adalah sebanyak satu juta dos akan dibuat pada suku pertama tahun depan.

Katanya, perjanjian itu bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan, selain menjamin akses kepada vaksin berkenaan jika sedia untuk diedarkan syarikat.

“Melalui perjanjian ini juga, Pfizer menjanjikan penghantaran sebanyak satu juta dos bagi suku pertama tahun 2021, disusuli dengan 1.7 juta dos pada suku tahun kedua, 5.8 juta dos pada suku tahun ketiga dan seterusnya 4.3 juta dos pada suku tahun keempat.

“Pihak syarikat bagaimanapun masih perlu mendapatkan kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) dan kelulusan regulatori dari negara pengeluar, selain daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan sebelum vaksin ini boleh digunakan di Malaysia,” katanya.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Tambah Muhyiddin, perjanjian itu bertujuan memastikan kerajaan mempunyai akses kepada data untuk menilai kualiti, keselamatan dan keberkesanan, selain menjamin akses kepada vaksin berkenaan jika sedia untuk diedarkan syarikat.

“Sebelum ini, Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan COVAX yang menampung 10 peratus keperluan imunisasi rakyat.

“Sehubungan itu, keduapdua perjanjian ini dijangka dapat menjamin akses vaksin untuk 30 peratus rakyat Malaysia. Proses pemberian vaksin ini setelah diperoleh akan dilakukan secara berperingkat dengan keutamaan kepada kumpulan berisiko.

“Ini termasuk petugas barisan hadapan, warga emas dan pesakit yang menghidap penyakit tak berjangkit seperti jantung, diabetes dan pesakit pernafasan kronik,” jelasnya.

Pada masa sama kata Perdana Menteri, rundingan terus giat dijalankan dengan syarikat farmaseutikal lain bagi memastikan Malaysia mendapat akses vaksin COVID-19 yang secukupnya untuk rakyat.

Dalam pada itu, kata Muhyiddin, Malaysia akan memulakan kajian klinikal fasa ketiga vaksin COVID-19 di negara ini, pada bulan depan menerusi inisiatif kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama China.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin, berkata vaksin berkenaan dibangunkan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences (IMBCAMS), yang kajian klinikal mengenai akan membabitkan 3,000 peserta bagi menilai keselamatan serta keberkesanan.

“Kajian ini dikendalikan pertubuhan kajian klinikal tempatan dan sudah pun didaftarkan dalam Daftar Kajian Perubatan Nasional.

“Profil keselamatan vaksin akan diteliti terlebih dahulu oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara untuk memperoleh Lesen Import Kajian Klinikal dan protokol kajian akan dikaji Jawatankuasa Etika dan Kajian Perubatan, bagi memastikan kajian yang akan dijalankan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media yang diadakan secara sidang video di Perdana Putra di sini, hari ini

Muhyiddin berkata, kajian klinikal fasa ketiga itu akan membabitkan lapan pusat penyelidikan klinikal di bawah seliaan Kementerian Kesihatan.

“Kerajaan ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada IMBCAMS yang akan berkolaborasi untuk menjalankan kajian klinikal fasa tiga ini di Malaysia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.