Sultan Johor kurnia bot laju kepada polis marin

151

27 NOV: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan sebuah bot laju IMG kepada Pasukan Polis Marin (PPM) yang bertugas di Wilayah 2, Mersing, Johor, hari ini.

Dalam muat naik terbaharu di Facebook rasmi baginda, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan kenderaan berkenaan bagi memantapkan lagi tugasan mereka dalam melaksanakan tugas.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan bot laju IMG kepada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Mersing pada hari ini.

“Baginda Tuanku Sultan bertitah, pengurniaan bot laju enjin berkapasiti 900 kuasa kuda yang berkelengkapan penuh itu adalah bagi penugasan PPM dikepulauan serta perairan Mersing,” jelas Johor Royal Press Office.

Turut hadir sama, Pegawai Pemerintah PPM Wilayah 2 Mersing, Inspektor Rosli Mohd Saad dan SM Risik/Operasi PPM Wilayah 2 Mersing, Sarjan Mejar Hasnuddin Hassan.

Sebelum ini, baginda mengurniakan tiga kereta Proton X70 dan dua kereta Perodua Myvi kepada para doktor dan jururawat Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

Baginda berbuat demikian sebagai penghargaan terhadap dedikasi mereka menjalankan tugas. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.