Sandiwara PH tutup kelemahan, perpecahan dalaman

306

27 NOV: Kenyataan beberapa pemimpin pembangkang bahawa mereka sengaja membiarkan Belanjawan 2021 diluluskan pada sesi undian peringkat dasar, semalam, hanyalah satu sandiwara bagi menutup kelemahan dan perpecahan dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sahaja.

Setiausaha Agung Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa, berkata ramai Ahli Parlimen PH berbuat demikian dan akan terus melakukan penipuan kerana mahu menutup kelemahan dan kekurangan mereka sendiri.

“Pembangkang sekarang kata nak tolak pada peringkat jawatankuasa…. tak tau ke pada peringkat yang dibincang hanya butiran…lagi banyak ‘auta’ lagi dibenci rakyat.

“Yang pasti mereka tak cukup bilangan,” kata Annuar dalam ciapan Twitter miliknya hari ini.

annuar musa
ANNUAR MUSA

Difahamkan Annuar berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan beberapa pemimpin pembangkang termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang mendakwa kelulusan Belajanwan 2021 di peringkat perbahasan dasar adalah sebahagian daripada perancangan PH yang akan menentang habis-habisan pada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa mulai Isnin ini.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menegaskan beliau bersama tiga Ahli Parlimen dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan terus menolak Belanjawan 2021 dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa, minggu depan.

Sementara itu Pakatan Harapan (PH) mengambil keputusan tidak memilih untuk undi belah bahagian bagi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 kerana ingin memberi tumpuan kepada perbahasan RUU peringkat jawatankuasa.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, PH sama sekali tidak akan memberi laluan mudah untuk meluluskan RUU berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pihaknya akan menentukan RUU itu diluluskan atau sebaliknya menerusi bacaan kali ketiga selepas sesi penggulungan oleh setiap kementerian bermula Isnin ini.

Semalam, Belanjawan 2021 lulus pada peringkat dasar selepas lebih suara yang bersetuju menyokong bajet tersebut apabila selesai Menteri Kewangan Datuk Tengku Zafrul Abdul Aziz menggulung perbahasan

Walaupun Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta sesi belah bahagi atau pengundian tetapi hanya 11 sahaja Ahli Parlimen menyokongnya sedangkan peraturan menetapkan sekurang-kurangnya 15 orang perlu bangun bagi menyokong cadangan tersebut. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.