PRK Gerik, Bugaya berlangsung serentak 16 Jan

162

27 NOV: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Gerik dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, pada hari sama iaitu 16 Januari 2021.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, keputusan berkenaan hasil Mesyuarat Khas SPR hari ini menetapkan bahawa satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan selaras dengan Perkara 54 Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK berkenaan pada 4 Januari 2021, manakala 12 Januari sebagai tarikh undi awal.

ghani
ABDUL GHANI SALLEH

“Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding hingga jam 11.59 malam, 15 Disember nanti,” katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

Kerusi Parlimen Gerik diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Hasbullah Osman, akibat serangan sakit jantung pada 16 November lalu. Manakala, kerusi DUN Bugaya pula kosong berikutan pemergian penyandangnya Manis Muka Mohd. Darah, pada 17 November lalu.

Berikutan itu SPR akan membuka permohonan bagi urusan undi pos luar negara dan dalam negara untuk kedua-dua kerusi berkenaan mulai 27 November 2020, dengan tarikh tutup Borang 1A (petugas SPR, polis, tentera dan media) pada 30 Disember 2020, manakala Borang 1B bagi pengundi luar negara dan Borang 1C (petugas keselamatan dan kesihatan) pada 24 Disember 2020.5.

Abdul Ghani berkata, bagi proses berkenaan, SPR telah melantik Pegawai Daerah Hulu Perak dari Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak, Meor Shahibul Fadilah Zainuddin, dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK Parlimen Gerik dengan dibantu oleh enam Penolong Pegawai Pengurus.

“SPR juga bersetuju melantik Pegawai Daerah Semporna dari Pejabat Daerah Semporna dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah dengan dibantu oleh tiga orang Penolong Pegawai Pengurus.

“SPR juga bersetuju menubuhkan beberapa Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) terdiri daripada wakil polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon yang bertanding untuk memantau perjalanan semua kempen di kedua-dua PRK sepanjang tempoh rasmi berkempen,” katanya.

Beliau berkata PRK Parlimen Gerik, Perak dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM5.8juta manakala RM4.7 juta lagi untuk PRK DUN Bugaya, Sabah.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Parlimen P.054 Gerik, Perak ini adalah Daftar Pemilih terkini sehingga ST3/2020 yang dikemaskini pada 17 November 2020.

“DPPR ini mengandungi 36,750 orang pengundi yang terdiri daripada 33,675 orang pengundi biasa, 2,111 orang tentera serta pasangan, 959 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 5 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” katanya.

Beliau berkata DPPR yang akan digunakan untuk PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah ini adalah Daftar Pemilih terkini sehingga ST3/2020 yang dikemaskini pada 22 November 2020.

“DPPR tersebut mengandungi 21,618 orang pengundi yang terdiri daripada 21,181 orang pengundi biasa dan 437 orang anggota polis,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.