Pindaan perlembagaan agenda penting Bersatu esok

210

27 NOV: Cadangan pindaan perlembagaan parti merupakan antara agenda penting Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang akan berlangsung secara maya esok.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pindaan itu bertujuan untuk memperkasa, mengemas kini dan menyelaraskan struktur parti, kepimpinan dan proses pemilihan barisan pemimpin.

“Sebagai forum tertinggi tentang hal ehwal parti, PAT ini tentulah akan dimanfaatkan untuk membincangkan dasar dan halatuju parti, lebih-lebih lagi di dalam suasana politik mutakhir.

“Sebagai Naib Presiden, sukalah saya menyeru semua kepimpinan dan perwakilan ke PAT ini untuk sama-sama menyumbang kepada usaha pemerkasaan parti sambil menghayati wawasan pucuk pimpinan, khasnya Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Perkembangan mutakhir harus meyakinkan kita bahawa kepimpinan Perdana Menteri disokong kebanyakan rakyat. Buktinya, Gagasan Rakyat Sabah (GRS) berjaya diberi mandat yang jelas dan semalam, Dewan Rakyat telah meluluskan pada peringkat dasar Rang Undang-Undang untuk Belanjawan 2021,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, kata Ronald, beberapa kaji selidik dan kajian pendapat awam juga telah menunjukkan bahawa tahap sokongan rakyat kepada kepimpinan khususnya dalam konteks kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berada di tahap yang tinggi.

Justeru, katanya, marilah semua pihak jadikan PAT ini sebagai lembaran baru di dalam perjuangan parti untuk rakyat. Kita hendaklah memperkasa dan memperkemas struktur, keanggotaan parti di semua peringkat.

“Selaku Pengerusi Biro Pilihanraya Dan Kajian PPBM, saya memohon kerjasama daripada para pemimpin dan ahli-ahli parti di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan untuk menggiatkan usaha ke arah persediaan untuk menghadapi PRU ke-15.

“Di peringkat pusat, penyelarasan bidang tugas telah dimuktamadkan di antara Biro-Biro dengan kerjasama War Room dan Ibupejabat parti.

“Dalam waktu terdekat, jentera pilihanraya pusat akan mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri agar dapat diselaraskan gera kerja Pilihan Raya parti dengan lebih bersasar dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, isu pemansuhan jawatan pengerusi parti telah dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan parti.

“Mengenai pemansuhan jawatan pengerusi, perkara itu betul dan bukan ura-ura. Kita dah bincang pun dan saya rasa mendapat sokongan kebanyakan ahli untuk memantapkan pengurusan parti itu sendiri.

“Sebabnya kita tidak mahu ada dua kapten dalam satu kapal, jadi kita cuma mahu ada presiden,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Malaysia Petang Ini bertajuk ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’, terbitan Bernama TV hari ini.

Jawatan itu sebelum ini disandang Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum keahlian beliau dalam Bersatu ditamatkan.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata pemansuhan jawatan tersebut akan memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.