Keadaan operasi mencabar, TH Plantations jual aset

168

7 NOV: TH Plantations Bhd mula menjual aset kumpulannya dalam tempoh 12 bulan, berikutan keadaan operasi yang mencabar akibat pandemik COVID-19.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat perladangan tersebut menjelaskan, pelaburan dalam Bumi Suria Ventures, Maju Warisanmas, TH PELITA Meludam, TH PELITA Beladin, TH PELITA Simunjan, TH PELITA Gedong dan TH PELITA telah dikemukakan sebagai aset yang dipegang untuk dijual dan menyasarkan inisiatif itu akan selesai dalam tempoh setahun.

“Pandemik dan penutupan pintu sempadan Malaysia sejak suku pertama menjadikan keadaan operasi mencabar.

“Sekatan ke atas pengambilan pekerja asing baharu terus menjejaskan pengeluaran perladangan pada suku semasa,” kata TH Plantations.

Penjualan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd telah selesai pada suku ketiga 2020, dengan kerugian bersih sebanyak RM7.94 juta.

Syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM15.77 juta pada suku ketiga berakhir 30 September lalu, daripada kerugian bersih sebanyak RM31.61 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Perolehan meningkat kepada RM167.43 juta daripada RM136.01 juta sebelum ini.

TH Plantantions menambah, pendapatan yang lebih baik pada suku tahun itu sebahagian besarnya berikutan purata harga jualan untuk produk sawit yang lebih tinggi dan perubahan nilai saksama aset biologi berjumlah RM20.83 juta.

Menurut syarikat itu, purata harga jualan untuk minyak sawit mentah (MSM), buah tandan segar (BTS) dan isirung sawit (PK), masing-masing naik sebanyak 32.59 peratus kepada RM2,540.09 satu tan, 46.35 peratus kepada RM505.62 satu tan dan 28.45 peratus kepada RM1,419.61 satu tan.

Namun, pengeluaran BTS merosot 4.14 peratus berbanding suku tahun sama tahun lepas.

Sementara itu, kumpulan tersebut terus mencatatkan prestasi yang baik di peringkat operasi.

“Walaupun terdapat peningkatan di peringkat operasi, kemajuan Pelan Pemulihan Strategik kumpulan, yang termasuk rasionalisasi aset, terus menjadi kunci kepada kemampanan jangka panjang TH Plantations,” kata syarikat tersebut.

TH Plantations juga yakin paras semasa harga jualan untuk produk sawit akan kekal sepanjang baki tahun ini dalam persekitaran musim pengeluaran yang rendah, kekurangan tenaga kerja dan paras inventori minyak sawit yang rendah di negara ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.