Bimbang ada kesan sampingan pada kanak-kanak

73

27 NOV: Pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dibimbangi menyebabkan kesan sampingan kepada golongan berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, ini kerana kebanyakan kajian vaksin tidak dijalankan dalam kalangan individu bawah 18 tahun.

“Majoriti vaksin kita akan lihat kepada indikasi diguna pakai dalam kajian penyelidikan berkenaan dengan peringkat umur setakat ini lebih daripada 18 tahun.

“Bagi kanak-kanak bawah 12 tahun, perlu lihat kepada data dan KKM dimaklumkan kebanyakan vaksin tidak banyak menjalankan kajian bagi umur bawah 18,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, beliau mengesahkan bekalan vaksin fasa pertama bagi negara ini terhad kepada individu berumur 18 tahun ke atas memandangkan belum ada data dan kajian terperinci berkaitan keselamatan penggunaannya terhadap kanak-kanak.

Noor Hisham berkata demikian mengulas 12.8 juta dos vaksin COVID-19 yang tidak membabitkan imunasi untuk kanak-kanak.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menilai lima aspek penting berhubung bekalan vaksin COVID-19 untuk keperluan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, ia meliputi pendaftaran, pembekalan, pemberian (agihan), pemantauan dan penilaian atau 5P.

Katanya, aspek 5P terbabit akan menjadi kayu ukur bagi menentukan kewajaran penggunaan sesuatu vaksin itu.

“Ketiga, KKM akan melihat aspek pemberian dengan keutamaan kepada golongan berisiko tinggi.

“Sebagai contoh, petugas barisan hadapan, warga emas dan sebagainya akan menerima dulu peruntukan vaksin berkenaan,” katanya.

Seterusnya, Dr Noor Hisham berkata, aspek pemantauan akan turut diteliti bagi mengenal pasti sama ada terdapat kesan sampingan bagi pengguna kelak.

“Yang terakhir ialah penilaian keseluruhan vaksinasi perlu dilakukan, antara lain bagi melihat sama ada ia memenuhi objektif kita untuk mencapai imuniti kelompok.

“Inilah konsep yang kita guna supaya negara tidak ketinggalan. Misalnya, jika ada vaksin telah didaftarkan bawah Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA), berkemungkinan permintaan terhadapnya juga akan meningkat.

“Kita berkemungkinan akan ketinggalan jika tidak memulakan langkah proaktif bagi mendapatkan vaksin, namun apa yang lebih penting ialah ia mestilah selamat digunakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.