308 individu langgar SOP, ramai tak pakai pelitup muka

83

27 NOV: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 308 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan prosedur operasi standard (SOP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, seramai 290 individu dikenakan kompaun manakala 18 orang direman.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah tidak memakai pelitup muka (84), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (78), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (73), rentas daerah/negeri Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (28), aktiviti pusat hiburan (23) dan dan lain-lain (22),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Beliau menambah, pasukan keselamatan berjaya menahan 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Benteng di seluruh negara, semalam.

“Sebanyak 275 sekatan jalan raya (SJR) Op Benteng juga dilaksanakan di seluruh negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Sumber Manusia mula melaksanakan penguatkuasaan ke atas perumahan serta penempatan pekerja warga asing di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 Akta (Akta 446).

“Semalam beberapa buah kilang di beberapa buah negeri telah dikenakan tindakan kerana tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Akta 446,” katanya.

Berhubung Op Sanitasi Awam, beliau berkata, sebanyak 11,957 operasi dilakukan di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan merangkumi 137 zon.

“Semalam, sebanyak 49 operasi sanitasi telah dilaksanakan di 11 buah negeri dan 2 Wilayah Persekutuan,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.