Titah nasihat didukung MP, Agong hargai sokongan

222

26 NOV: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah memberi sokongan dalam meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sehubungan dengan itu menerusi kenyataan Istana Negara, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama.

“Sesungguhnya, selain daripada pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada Kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk meneruskan dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak COVID-19.

“Selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini. Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat, ” katanya.

parlimen

Dalam pada itu, Ahmad Fadil memberitahu Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang telah mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta kemaslahatan negara.

“Al-Sultan Abdullah mengalu-alukan sokongan yang telah diberikan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19.

“Marilah kita sama merenung firman Allah SSWT dalam Sural AnNisa, ayat 85 yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya. Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan ingatlah Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”,” menurut kenyataan itu.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga turut menzahirkan keyakinan penuh terhadap kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara diuji dengan pelbagai krisis. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.