Tiada alasan tak bantu PDRM bawa pulang Jho Low

62

26 NOV: Wisma Putra bersedia membantu pihak berkuasa Malaysia membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui lokasi sebenar beliau.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tiada alasan untuk Wisma Putra tidak membantu membawa pulang Jho Low supaya dapat dihadapkan ke muka pengadilan.

“Mengenai Jho Low, kita tidak tahu sama ada benar dia ada di China. Jika PDRM memaklumkan kepada Wisma Putra kedudukan sebenar dan di mana dia berada, tidak ada sebab Wisma Putra tak boleh membantu.

“Wisma Putra sedia membantu untuk membawa dia pulang menghadap pengadilan,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

HISHAMMUDDIN HUSSEIN
HISHAMMUDDIN HUSSEIN

Beliau menjawab celahan Ahli Parlimen PH Jelutong RSN Rayer sama ada Wisma Putra boleh membantu mengesan dan membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan itu bagi membantu siasatan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu, Malaysia berharap Myanmar tidak akan memberikan sebarang alasan untuk mengelak daripada meneruskan rundingan bagi mencari penyelesaian komprehensif dan segera terhadap isu pelarian etnik Rohingya dan masalah wilayah Rakhine.

Beliau menambah, sebelum ini pihak berkuasa Myanmar memberikan alasan bahawa mereka terpaksa menangguhkan rundingan dengan negara berkepentingan bagi menyelesaikan isu pelarian Rohingya kerana mereka sibuk dengan persiapan menghadapi pilihan raya umum.

“Ikhlas saya mahu nyatakan bahawa rundingan Malaysia dengan Myanmar sebelum ini tergendala kerana bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan PRU dulu.

“Jadi sekarang ini dengan keputusan PRU sudah diketahui, kita mesti hidupkan semula rundingan dengan Myanmar untuk memastikan mereka tidak boleh lagi memberikan sebarang alasan.

“Justeru, Wisma Putra akan terus mendekati Myanmar dan saya sudah membangkitkan mengenai perkara ini dengan Menteri Luar republik berkenaan dalam mesyuarat menerusi sidang video baru-baru ini,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.