Syarat dilonggar, 8 juta pencarum layak keluar Akaun 1

10,819

26 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melonggarkan syarat kelayakan pencarum untuk membuat pengeluaran Akaun 1 menerusi skim i-Sinar sekali gus melayakkan lapan juta ahli untuk berbuat demikian.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kelonggaran itu diberi tanpa mengira sama ada pencarum terbabit terjejas pendapatan akibat hilang pekerjaan atau pekerja yang mengalami pengurangan pendapatan.

Beliau menambah, syarat baharu itu turut merangkumi semua pencarum dalam sektor pekerjaan formal dan bekerja sendiri atau masih aktif mencarum atau sebaliknya.

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan pegawai-pegawainya berdoa tanda kesyukuran selepas Dewan Rakyat meluluskan Belanjawan 2021.

“Selagi terjejas pendapatan dengan ketara, bolehlah mengeluarkan simpanan daripada Akaun 1 KWSP.

“Dari dua juta ahli yang layak sebelum ini, i-Sinar kini kita buka kepada lebih lapan juta ahli,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) peringkat dasar bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Pengumuman itu disambut dengan tepukan gemuruh daripada ramai Ahli Parlimen dan sebahagian daripada mereka termasuk Ahli Parlimen BN Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim bangkit mencelah untuk menyatakan keprihatinan kerajaan dalam soal pengeluaran Akaun 1 KWSP.

Selain menerusi perbahasan Belanjawan 2021 dalam sidang Dewan Rakyat sebelum ini, banyak pandangan dinyatakan oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin politik dan orang ramai agar syarat pengeluaran Akaun 1 KWSP melalui skim i-Sinar dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai pencarum yang terjejas menerima manfaatnya.

Tengku Zafrul turut mengumumkan, mereka yang sebelum ini hanya dibenarkan mengeluarkan maksimum RM9,000 ini dibenarkan membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

“Mereka cuma perlu memohon di dalam talian atau hadir di mana-mana pejabat KWSP.

“Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri,” jelasnya.

Penambahbaikan lain dalam pemberian pelbagai bantuan menerusi Belanjawan 2021 adalah seperti berikut:

Memanjangkan bantuan khas secara one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300 ringgit.

Menambah baik program eBelia dengan meningkatkan jumlah bayaran daripada RM50 ringgit kepada RM100 ringgit memanjangkan inisiatif kepada 1.1 juta mahasiswa di institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta termasuk yang berumur lebih daripada 20 tahun.

Dana tambahan berjumlah RM50 juta lagi menggunakan Kumpulan Wang COVID-19 (KWC) untuk Negeri Sabah pada Disember 2020.

Memperluaskan kategori penerima bantuan one-off RM500 pesara polis kepada 80,000 orang berbanding 40,000 orang sebelum ini.

Peruntukan RM80 juta untuk Tabung Bencana Pertanian kepada pesawah, nelayan dan pengusaha akuakultur, pekebun dan penternak yang mengalami kehilangan pengeluaran hasil tanaman kesan dari bencana alam.

Kenaikan kepada kadar Elaun Sara Hidup Nelayan Darat (ESHND) daripada RM200 kepada RM250 sebulan bagi 3,400 nelayan darat yang berdaftar.

Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) akan diteruskan dan bayaran sebanyak RM300 sebulan akan dibayar pada bulan Disember 2020, Januari 2021 dan Disember 2021, kepada pekebun kecil yang layak di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).

Potongan cukai khas bagi pengurangan sewa premis kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Mac 2021 bagi membantu PKS yang terkesan akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.