SPRM tak pilih bulu siasat kes rasuah

90

26 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ‘memilih bulu’ dalam menyiasat kes rasuah sama ada membabitkan orang awam, kakitangan kerajaan, ahli politik atau pemimpin kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan berkata perkara itu adalah selaras dengan Akta SPRM 2009 atau Akta 694.

Menurut beliau, akta berkenaan menjelaskan mana-mana pihak atau orang dengan sendiri atau melalui beberapa orang lain melakukan kesalahan rasuah seperti ditakrifkan mengikut Seksyen 16 akta sama maka ia dianggap melakukan suatu kesalahan rasuah.

takiyuddin
TAKIYUDDIN HASSAN

“Satu perkara lagi saya ingin saya sebut ialah mengenai satu pindaan baharu iaitu Seksyen 17A di mana akta ini merangkumi kesalahan rasuah dibuat oleh organisasi komersial bukan hanya orang perseorangan dianggap melakukan kesalahan rasuah.

“Jika mereka melakukan kesalahan Seksyen 17A ini meletakkan kesalahan kepada orang yang menjadi Pengarah, Pengawal, Pegawai atau mereka terbabit dengan pengurusan hal ehwal organisasi berkenaan.

“Jadi inilah usaha bagi menunjukkan kerajaan serius menangani rasuah termasuk dalam kalangan orang politik sendiri,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PH Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang ingin tahu sama ada kerajaan akan melebarluaskan pemantauan terhadap jenayah rasuah yang dianggapnya amat jijik terhadap semua peringkat termasuk membabit pemimpin politik dalam kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin mengesahkan SPRM sudah membuka 2,287 kertas siasatan yang telah dibuka ke atas penjawat awam bagi menyiasat aduan mengenai kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, dalam tempoh tahun 2016 sehingga September 2020.

Takiyuddin berkata statistik berkenaan menunjukkan kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“SPRM selaku agensi pencegahan rasuah bertanggungjawab membantu kementerian dan jabatan kerajaan khasnya dalam meneliti sistem dan prosedur kerja bagi memastikan ruang dan peluang rasuah dapat ditutup.

“Pelbagai inisiatif pencegahan rasuah telah dilaksanakan sebagai pencetus usaha-usaha pencegahan rasuah. Sebagai contoh setiap agensi perlu ‘tools’ seperti ‘Corruption Risk Management (CRM), Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) dan Anti Bribery Management System’ dalam usaha mengekang perlakuan rasuah.

“Sehingga kini 139 agensi sudah terbabit sesi libat urus dengan SPRM bagi pelaksanaan CRM, manakala bagi pelaksananan OACP pula sebanyak 40 agensi,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.