SPRM siasat penyelewengan royalti hak cipta

73

26 NOV: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sudah memulakan siasatan terhadap penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima oleh industri muzik di Malaysia.

Menurut sumber, satu operasi dijalankan semalam di empat pejabat yang dipercayai terbabit dalam proses kutipan royalti iaitu Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad.

“Buat masa ini, SPRM sedang mengambil dokumen berkaitan dan beberapa individu berkaitan akan dipanggil untuk membantu penyiasatan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan pihaknya sudah memulakan siasatan berhubung isu berkenaan.

Katanya, masih terlalu awal untuk memberi kenyataan berhubung siasatan ini bagi berlaku adil terhadap semua pihak yang terbabit.

“Semua pihak diminta untuk tidak mensensasikan isu ini dan memberikan masa yang secukupnya kepada SPRM bagi dijalankan siasatan secara telus, adil dan profesional,” katanya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sebelum ini Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez, dilaporkan meminta campur tangan SPRM dalam pertikaian mengenai royalti sekitar RM30 juta yang belum dibayar kepada artis rakaman.

Beliau kecewa dengan kemungkinan beberapa ‘tangan tersembunyi’ memanipulasi kutipan royalti untuk keuntungan mereka sendiri.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.