Serang PGA: Ketua penyeludup antara direman

96

26 NOV: Seramai empat lagi individu termasuk seorang lelaki tempatan dipercayai ketua sindiket penyeludup direman tujuh hari, mulai hari ini, selepas disyaki terbabit dalam insiden serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar, kelmarin.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah selepas mendapat permohonan polis bagi menyiasat semua suspek berusia antara 22 hingga 45 tahun berkenaan.

Semua mereka disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Semalam, seorang suspek warga Thailand berusia 27 tahun berjaya ditahan di kawasan berbukit di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan FELDA Mata Ayer oleh anggota PGA kira-kira jam 9 pagi.

Susulan itu, polis melancarkan operasi khas bagi memburu rangkaian sindiket penyeludupan dan berjaya menahan tiga lagi suspek warga tempatan berusia 22, 26 dan 45 tahun secara berperingkat di sekitar negeri ini.

Difahamkan, suspek berusia 45 tahun terbabit adalah ketua sindiket yang aktif dalam kegiatan penyeludupan ketum dan dadah termasuk mempunyai kaitan dengan kumpulan di negara jiran.

Semalam, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad memaklumkan, pihaknya sedang berusaha memburu rangkaian kumpulan penyeludup termasuk dalang utama seorang lelaki warga tempatan. Sehingga kini, seramai 22 individu termasuk empat warga Thailand ditahan berikutan kejadian serangan yang menyebabkan seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, maut, manakala rakannya, Sarjan Norihan Tari, 39, parah.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.